ALOR SETAR – Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa semakin ramai rakyat menunjukkan minat untuk mengetahui siapa calon Perdana Menteri daripada Pas kerana mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada di dalam kerajaan pada hari ini.
Beliau berkata, pertanyaan itu bukan sekadar spekulasi politik tetapi mencerminkan harapan rakyat terhadap Pas sebagai parti yang diyakini mampu membawa perubahan dan menerajui negara dengan lebih baik.
“Ramai orang bertanya, siapa bakal Perdana Menteri? Kenapa mereka begitu beria-ia hendak tahu? Kerana mereka sudah tidak percaya pada menteri yang ada sekarang,” katanya ketika berucap pada pengulungan pimpinan Muktamar Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah, di Kota Sarang Semut di sini pada Selasa.
Menurut beliau, Pas tidak pernah kekurangan tokoh kepimpinan yang berwibawa dan berpengalaman, malah parti itu memiliki barisan kepimpinan yang mantap untuk menggalas tanggungjawab mentadbir negara.
“Seperti kata Mursyidul Am Pas, kita ada berapa lori (calon PM)? Empat lori kita ada, tiga lori pun kita ada. Sebenarnya, kita tidak pernah kekurangan barisan kepimpinan. Insya-ALLAH, kita mampu menerajui,” katanya secara berseloroh merujuk kepada kekuatan dalaman parti.
Tuan Ibrahim turut mengingatkan bahawa dalam konteks politik Malaysia, pengumuman calon Perdana Menteri daripada parti itu berpotensi mengundang tekanan dan serangan politik daripada pelbagai pihak.
Namun begitu, beliau menegaskan bahawa Pas tidak gentar dengan cabaran sedemikian, malah parti itu telah melalui pelbagai tribulasi dan tekanan politik dengan sabar dan tabah.
“Yakinlah, parti yang dibangkitkan di atas tribulasi, menempuh perjuangan dengan kesabaran dan kekuatan yang kita ada, kita mampu insya-ALLAH menerajui negara pada masa hadapan,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Tuan Ibrahim turut menyentuh usaha memperkukuh dokumen dasar parti seperti Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) dan Dokumen Hijau sebagai kerangka penyelesaian berasaskan sistem Islam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua calon yang bertanding dalam pemilihan parti, sambil menyifatkan kesemua mereka sebagai tokoh hebat yang layak memimpin.
“Tuan-tuan sekalian, akhirnya saya ingin mengucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat yang tidak terpilih dan takziah kepada sahabat-sahabat yang terpilih.
“Kita tahu, tuan-tuan sekalian, semua calon kita hebat. Sekarang kita ada banyak tokoh besar yang hebat dalam parti. Saya tahu susah bagi para perwakilan membuat pilihan. Kadang-kadang bila kita lihat rakan-rakan kita, semua nampak layak. Alangkah baiknya kalau AJK Pusat ini boleh lebih daripada 30 orang.,” katanya.