ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang juga Ketua Penerangan Pas Pusat muncul sebagai calon paling popular apabila meraih undi tertinggi sebanyak 1,096 undi dalam Pemilihan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bagi penggal 2025–2027 yang diumumkan pada Selasa.
Ketua Jawatankuasa Pemilih, Wan Rohimi Wan Daud berkata, undi kedua terbanyak diperoleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dengan jumlah 1,062 undi.
Menurutnya, Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi serta Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah, Haim Hilman Abdullah berada di tempat ketiga dengan 1,028 undi.
“Muhammad Khalil Abdul Hadi memperoleh 1,018 undi dan berada pada kedudukan keempat, diikuti Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin dengan 920 undi,” katanya.
Berdasarkan keputusan itu, lima individu teratas yang dipilih merupakan golongan profesional dan bukan berlatar belakangkan ulama.
Antara muka baharu yang berjaya tersenarai ialah Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi.
Senarai jawatankuasa berkenaan turut menyaksikan kemunculan semula Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dalam barisan AJK Pas Pusat setelah beliau menyepi dalam arena politik sebelum ini.
Antara yang kekal ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mendapat 897 undi.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli gagal meraih sebarang undi untuk berada dalam senarai AJK apabila tewas dalam pemilihan kali ini.
Pada Jun lalu, Mohd Shukri turut gagal merebut jawatan Yang Dipertua Pas Kawasan Arau.
Proses pengundian diadakan dalam tempoh lebih sejam untuk memilih 18 ahli jawatankuasa daripada keseluruhan 30 calon, melibatkan kira-kira 1,100 perwakilan. Hampir 10 peratus daripada perwakilan berdaftar tidak mengundi.
Senarai 18 Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat (2025–2027):
Ahmad Fadhli Shaari – 1,096 undi
Muhammad Sanusi Md Nor – 1,062 undi
Haim Hilman Abdullah – 1,028 undi
Muhammad Khalil Abdul Hadi – 1,018 undi
Khairil Nizam Khirudin – 920 undi
Datuk Mohd Nassuruddin Daud – 897 undi
Datuk Dr Azman Ibrahim – 868 undi
Dr Halimah Ali – 866 undi
Datuk Siti Zailah Mohamad Yusof – 865 undi
Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaari – 854 undi
Datuk Ahmad Amzad Hashim – 802 undi
Datuk Dr Mohd Fadzli Hassan – 731 undi
Riduan Mohamad Nor – 721 undi
Senator Nik Abduh Nik Abdul Aziz – 713 undi
Datuk Seri Shahidan Kassim – 771 undi
Datuk Awang Hashim – 688 undi
Datuk Mumtaz Md Nawi – 682 undi
Datuk Iskandar Abdul Samad – 680 undi
Keputusan ini sekali gus menyaksikan gandingan tokoh lama dan baharu, termasuk tokoh ulama, profesional serta wakil wanita, diyakini dapat memperkukuhkan hala tuju Pas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.