ALOR SETAR – Kos mempertahankan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dijangka mencecah sehingga RM1 juta pada masa akan datang sekiranya gagal menguasai penggunaan teknologi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas dan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan perkara itu ketika berucap sempena Muktamar Tahunan Pas di sini pada Selasa.
“Satu kerusi Parlimen pada masa akan datang, kalau tak dikuasai semua teknologi dan aplikasi yang ada di hadapan kita, kita akan bergantung kepada semua kaedah konvensional. Kosnya mahal... jangkaan satu kerusi RM1 juta... Kalau nak menang 60 kerusi, kena ada RM60 juta,” katanya.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu berkata, jumlah tersebut termasuk keperluan jentera parti, logistik, latihan petugas, dan penyediaan kelengkapan kempen yang semakin meningkat dari segi kos.
**media[3275354]**
Beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata, gerak kerja pilihan raya kini menuntut persediaan yang jauh lebih rumit dan kompleks dengan pelbagai kaedah serta pendekatan yang digunakan berbanding sebelum ini, selain mengakui bahawa parti itu tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah konvensional semata-mata.
“Inilah realiti politik semasa. Kalau kita tak buat persiapan awal, tak kuasai teknologi, media sosial, aplikasi dan alat kempen moden, kita akan ketinggalan,” katanya.
Beliau dalam masa yang sama mengingatkan agar jentera parti di semua peringkat tidak mengambil ringan soal persiapan kewangan, sebaliknya perlu bersedia berkorban demi memastikan perjuangan parti terus relevan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan pemimpin Pas supaya tidak leka dengan perbalahan dalaman atau isu kecil sesama sendiri kerana cabaran sebenar datang daripada pihak lawan yang sedang menunggu peluang untuk melemahkan parti.