ALOR SETAR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyasarkan kemenangan masa depan parti itu akan dipacu negeri Pahang, Perak dan Selangor, sekali gus memperkukuh kedudukan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat Parlimen.
Menurut beliau, tumpuan terhadap negeri-negeri tersebut akan digerakkan seiring dengan usaha mempertahankan penguasaan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang disifatkan sebagai 'negeri pangkalan’ Pas dan PN.
“Negeri-negeri ini wajib dipertahankan dengan pelaksanaan agenda Islam yang berpandukan al-Quran dalam bidang kuasa negeri.
"Pada masa sama, kita perlu melangkah ke hadapan untuk mengukuhkan kedudukan di negeri lain,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Pas di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Isnin.
Abdul Hadi turut menyatakan bahawa negeri-negeri selatan serta Sabah yang bakal berdepan pilihan raya negeri (PRN) dalam masa terdekat akan menjadi medan penting bagi Pas mengembangkan pengaruh politiknya.
Beliau menyifatkan kejayaan Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai pencapaian terbesar sejak penubuhan parti itu, apabila berjaya membentuk kerajaan di empat negeri dan memperoleh jumlah ahli Parlimen terbanyak berbanding parti-parti lain.
“Namun perjuangan kita tidak berhenti setakat kemenangan. Cabaran lebih besar adalah mengisi kemenangan itu,” ujarnya.
Beliau berkata, dalam usaha memperkukuh pentadbiran negeri, Pas telah menubuhkan mekanisme State Government 4 (SG4) bagi menyelaras urus tadbir empat negeri yang ditadbir parti itu.
Katanya, SG4 berperanan memperkukuh kerjasama dalam aspek pembangunan, ekonomi dan kebajikan rakyat.
Abdul Hadi turut memberikan penghormatan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menurutnya secara terbuka mengiktiraf bahawa Islam adalah penyelesaian kepada pelbagai krisis.
Ujarnya, pandangan Dr Mahathir yang berpengalaman dalam menangani krisis ekonomi dunia memberi nilai tambah kepada usaha Pas melaksanakan agenda pembangunan berasaskan kepakaran serta sumber dalam negara, tanpa bergantung kepada campur tangan asing.
“Ini membuktikan bahawa pendekatan Islam mampu menjadi jalan keluar dalam menguruskan krisis ekonomi, politik dan sosial, malah dapat dilaksanakan berpandukan sumber tempatan yang sedia ada,” katanya.