Pas sedia pimpin negara, Islam jadi penyelesaian - Abdul Hadi

ALOR SETAR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memberi isyarat parti itu bersedia memimpin negara bersama Perikatan Nasional (PN) berlandaskan prinsip Islam sebagai penyelesaian kepada pelbagai kemelut yang melanda masyarakat.

Menurutnya, ajaran Islam yang sempurna, adil dan membawa rahmat mampu menyatukan masyarakat pelbagai kaum secara harmoni dan selamat.

“Pas bersedia memimpin Malaysia yang bermasyarakat majmuk, berpegang pada keluhuran Perlembagaan Persekutuan dengan pentafsiran Islam yang sebenar (al-din) tanpa meminggirkan hak dan kepentingan kaum lain,” katanya pada Isnin.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Muktamar Pas ke-71 di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut di sini.

Abdul Hadi turut menyentuh pelbagai isu yang membelenggu negara, termasuk keruntuhan moral, politik yang zalim, ekonomi yang rakus serta kemusnahan alam sekitar.

“Politik yang menjadi amanah bertukar menjadi peluang mendapatkan pangkat dan harta sehingga menipu, khianat dan rasuah.

"Ekonomi menyembah kebendaan yang mengikuti nafsu mengatasi akal, memonopoli kekayaan tanpa batas halal dan haram,” ujarnya.

**media[3274010]**

Beliau turut menyelar kerakusan manusia yang merosakkan alam sekitar, mencetuskan peperangan dan mengabaikan tanggungjawab sosial, sambil menyeru agar penyelesaian Islam dijadikan asas dalam pentadbiran negara.

Dalam ucapannya, Abdul Hadi juga mendakwa konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan sebagai slogan sempit yang tidak berpaksikan ilmu dan panduan Islam.

“Masalahnya Malaysia Madani dijadikan slogan untuk menipu rakyat dengan kefahaman yang sempit tanpa ilmu, hanya sekadar menipu tanpa haluan dan petunjuk,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa madani yang sebenar ialah apabila Islam menjadi asas dalam memerintah urusan manusia, sebagaimana ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.