Kritikan dalam Muktamar Pas tidak jejas PN - Abdul Hadi

ALOR SETAR - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan kritikan yang dibangkitkan oleh sayap parti ketika Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 tidak akan menjejaskan perpaduan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, perbezaan pandangan adalah sebahagian daripada prinsip demokrasi dan lebih kepada usaha muhasabah bagi memperkukuh parti serta gabungan.

“Kalau kritikan itu betul, kita kena ikut. Kalau tak betul, kena ada hujah. Itu semua untuk sama-sama memperbaiki kelemahan, bukan membawa kepada perpecahan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan muktamar berkenaan di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Isnin.

Abdul Hadi berkata, ia merupakan amalan prinsip demokrasi dalam parti itu dan Pas berjuang untuk kesepakatan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan mengukuhkan Perikatan Nasional (PN).

“Sebarang krisis yang berlaku kita usaha selesaikan dengan baik,” ujarnya.

Mengulas mengenai strategi menawan tiga negeri, iaitu Pahang, Perak dan Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Abdul Hadi berkata, Pas sudah mempunyai kedudukan kukuh di Perak dan Pahang, namun usaha untuk menubuhkan kerajaan campuran terbantut selepas sebahagian UMNO memilih bekerjasama dengan DAP.

“Selangor juga ada potensi, termasuk Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Pinang. Kita ada kekuatan dengan jumlah kerusi besar, malah di Sabah kita ada satu kerusi lantikan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau optimis momentum sokongan rakyat, khususnya generasi muda semakin meningkat hasil daripada kebebasan media sosial yang memberi ruang lebih luas kepada Pas menyampaikan mesej perjuangannya.

“Kita melihat sokongan generasi muda sangat baik, khususnya selepas adanya kebebasan media khususnya media sosial, ini perkembangan yang baik,” ujarnya.