Pas terbuka bekerjasama dengan MIC, MCA - Abdul Hadi

ALOR SETAR - Pas sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk parti bukan Islam seperti MIC dan MCA selagi mereka tidak bersifat ekstrem.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan dengan pihak berkenaan sudah diadakan namun masih berada di peringkat awal.

“Kita terima orang yang berbeza dengan kita, syaratnya mereka tidak ekstrem. Kita boleh bincang termasuk dengan NGO, parti bukan Islam termasuk ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut pada Isnin.

Mengulas desakan perwakilan Pulau Pinang supaya Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri itu, Datuk Dominic Lau ditukar kerana didakwa tidak berfungsi, Abdul Hadi menyifatkannya sebagai isu dalaman gabungan tersebut.

“Itu perkara yang boleh kita bincang dan selesaikan. Apa yang penting walaupun berlaku sedikit krisis dalam pilihan raya, ia ibarat ‘air berkocak dalam cawan’ sahaja.

“Petugas kita tetap bekerja penuh sehingga berjaya memperoleh kemenangan besar,” jelasnya.

Dalam pada itu, pada sidang media yang sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, jumlah keanggotaan Pas kini mencecah 1.3 juta orang, tidak termasuk 10,000 ahli DHPP.

“Penyertaan ahli DHPP akan terus mengukuhkan parti dan kemungkinan besar perwakilan daripada sayap itu akan diberi hak mengundi dalam muktamar akan datang.

“Sekarang DHPP ada 20 perwakilan tetapi belum boleh mengundi kerana tidak termaktub dalam perlembagaan. Bila kita serap nanti, keanggotaan Pas akan bertambah lagi,” ujarnya.