Pemuda Pas cadang Tuan Ibrahim calon Perdana Menteri PN

ALOR SETAR - Pemuda Pas mencadangkan Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon utama Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN), sekiranya gabungan itu diberi mandat untuk memimpin negara.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Tuan Ibrahim merupakan tokoh berpengalaman dan antara yang mempunyai keupayaan untuk menerajui negara.

Menurutnya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, sebelum ini juga pernah menyatakan hasrat untuk tidak menyandang jawatan tersebut.

“Pertama, saya ingin mencadangkan seperti yang saya sebut sebelum ini, kita mempunyai Timbalan Presiden, kita ada Naib Presiden Pas, di mana kedua-duanya adalah Ahli Parlimen.

“Namun, Presiden sendiri sudah beberapa kali menyebut bahawa beliau tidak mahu menjadi Perdana Menteri kerana mahu memberi ruang kepada pemimpin lain yang lebih bertenaga,” katanya pada Jumaat.

Dalam muktamar tersebut, perwakilan Pemuda Pas sebulat suara meluluskan usul agar kepimpinan parti mengambil alih teraju PN dan memimpin negara.

Jelas Afnan Hamimi, Pas mempunyai barisan pemimpin berwibawa yang berpengalaman dalam pentadbiran negara dan negeri.

Antara nama lain yang turut disebut termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad; dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Saya mencadangkan pimpinan utama Pas sebagai calon Perdana Menteri kerana mereka mempunyai rekod dan pengalaman di peringkat Kabinet, dan juga sebagai menteri besar di peringkat negeri.

“Tidak salah untuk mencalonkan, kerana ini hanyalah satu cadangan. Namun, perkara ini perlu diputuskan di peringkat Majlis Presiden PN,” ujarnya.