SHAH ALAM - Cadangan Presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (UMANY), Tang Yi Ze supaya program matrikulasi dimansuhkan dilihat amat cetek, melampau dan salah mencari kesalahan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, program itu tidak sepatutnya dihapuskan kerana ia bukan suatu bentuk penolakan terhadap persaingan kecuali jika benar ia dijadikan laluan emas dengan gred direndahkan atau wujud unsur pilih kasih.
"Kenapa mesti hapuskan matrikulasi? Apakah dia menolak persaingan dan kecuali jika matrikulasi diberi laluan emas, gred direndahkan atau terdapat unsur pilih kasih.
"Semua tahu calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) terbabit walaupun dapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, tetapi dia gagal masuk ke kursus pilihan perakaunan dan tempat pilihan Universiti Malaya (UM) kerana faktor merit. Mereka yang dapat PNGK 4.00 ramai. Bukan dia seorang," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, UMANY menuntut supaya program matrikulasi dimansuhkan dan menjadikan silibus STPM sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam (UA) bagi jurusan ijazah.
Yi Ze berkata, ia kerana pihaknya mendapati silibus STPM terbukti lebih baik selain lebih mencabar dan turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk universiti ternama dunia.
Tambah Mohd Puad, jangan kerana seorang yang terlalu memilih kursus dan tempat tetapi gagal kerana faktor merit maka kita mahu korbankan program yang baik dan membuka persaingan sihat.
"Tingkatan Enam juga sudah dijenamakan dan dinaik taraf. Bersainglah," katanya.
Terdahulu, seorang calon STPM yang membuat pengaduan kepada seorang ahli Parlimen mendakwa dia telah berjaya ditawarkan program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian (Strategi & Organisasi/ Pemasaran/ Kewangan/ Operasi/ Perniagaan Antarabangsa/ Kewangan Islam/ Analitik Perniagaan) di sebuah universiti penyelidikan terkemuka negara yang juga merupakan pilihan kelimanya sendiri.