ALOR SETAR - Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat meluluskan usul mendesak Pas mempersiapkan parti untuk memimpin Perikatan Nasional (PN) dan menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu.
Usul berkenaan dibentangkan oleh Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar pada sesi perbahasan usul dan mendapat sokongan sebulat suara daripada lebih 750 perwakilan yang hadir.
Khairul Nadzir berkata, Pas memiliki signifikasi politik nasional yang tidak boleh dinafikan dan layak tampil sebagai peneraju dalam PN selain pencapaian politik serta senioriti Pas sebagai parti tertua dan berpengalaman dalam politik negara.
“Kami bawa usul ini untuk tujuan dibahas dan dibincangkan dalam Muktamar Pas Pusat yang akan diadakan pada Isnin.
“Pas bersedia bukan sahaja untuk memainkan peranan sebagai rakan kongsi, tetapi sebagai parti teras yang mampu menawarkan calon Perdana Menteri yang berwibawa dan berpengalaman,” katanya.
Menurutnya, usul berkenaan antara inisiatif untuk menegaskan kedudukan Pas, meningkatkan keyakinan akar umbi dan memberi isyarat jelas kepada rakan serta lawan politik bahawa parti itu sudah bersedia memainkan peranan utama dalam membentuk kepimpinan negara.
“Pas kini menerima sokongan semakin mantap dan mencatatkan pencapaian kerusi tertinggi dalam sejarahnya, menunjukkan parti ini semakin relevan dan mendapat mandat rakyat di peringkat nasional,” katanya.
Khairul Nadzir tegaskan, pencapaian politik terkini menunjukkan kekuatan sebenar Pas apabila menang 43 kerusi Parlimen dalam PRU15 daripada kemenangan PN secara keseluruhan sebanyak 146 kerusi Parlimen.
“Ia dibuktikan juga dengan penguasaan empat negeri (Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu) serta 126 kerusi DUN Pas dalam PRN enam negeri, iaitu tertinggi dalam PN, ini membuktikan pengaruh dan sokongan akar umbi yang kukuh.
“Masa depan negara memerlukan kepimpinan yang bersih, berintegriti, berwibawa, dan berasaskan prinsip Islam sebagai rahmatan lil-‘alamin, di mana Pas konsisten berpegang pada prinsip Islam, dan mampu menyediakan calon yang memenuhi keperluan tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, Pas kini berada pada kedudukan strategik dalam PN dan menampilkan calon Perdana Menteri dari parti itu akan mencerminkan legitimasi, kekuatan dan peranan utama parti dalam politik nasional.
“Kejayaan Pas dalam pilihan raya juga menunjukkan mandat rakyat yang kukuh, sekaligus memperkuat hujah bahawa parti ini layak memimpin negara dan menawarkan calon Perdana Menteri yang berwibawa,” ujarnya.
Khairul Nadzir tegaskan, Pas disarankan menampilkan calon Perdana Menteri daripada kepimpinan parti itu dalam rundingan rasmi dengan komponen PN sebagai simbol kepimpinan politik matang.
“Hubungan dan rundingan dalam PN perlu diperjelas supaya peranan Pas dalam kerajaan Persekutuan dan kepimpinan negara diiktiraf bukan sahaja sebagai parti komponen, tetapi sebagai rakan kongsi utama,” katanya.