ALOR SETAR – Dewan Pemuda Pas Kedah menggesa kerajaan Persekutuan merangka pembangunan industri unsur nadir bumi (rare earth elements, REE) secara holistik bagi memastikan keuntungan hasil tersebut dikembalikan kepada negeri.
Ketua Pemuda Pas Kedah, Ku Abdul Muhyi Ku Hussin berkata, rakyat negeri mesti menjadi penerima manfaat utama, bukannya syarikat kroni atau kerajaan Persekutuan semata-mata.
Menurutnya, keuntungan daripada REE mesti dipulangkan kepada negeri untuk dimanfaatkan sebaik mungkin kepada rakyat, selain diurus dengan penuh integriti, berlandaskan prinsip kelestarian dan berpandangan jauh.
“REE merupakan kumpulan 17 mineral bernilai tinggi yang digunakan secara meluas dalam teknologi moden termasuk telefon pintar, turbin angin, kereta elektrik, bateri litium, dan turut menjadi komponen penting dalam industri ketenteraan.
“Permintaan global terhadap REE semakin meningkat sehingga ia digelar sebagai ‘emas baharu dunia’,” katanya ketika membahaskan usul yang diluluskan dalam Muktamar Dewan Pemuda Pas Malaysia ke-66 di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, Laporan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) 2023 mendedahkan bahawa Malaysia memiliki sumber REE terbesar di Asia Tenggara, khususnya jenis ion absorption clay (IAC) yang berkualiti tinggi dan berpotensi menjana pendapatan berbilion ringgit setahun jika diurus dengan baik.
Katanya, dari sudut perlembagaan, Perkara 74(2) dan Jadual Kesembilan (Senarai Negeri) dengan jelas menyatakan bahawa hasil tanah, hasil bumi, lombong dan hutan adalah hak kerajaan negeri. Justeru, hak negeri ke atas REE adalah sama seperti sumber mineral lain.
“Pengalaman di Kelantan dan Terengganu dalam isu royalti petroleum wajar dijadikan pengajaran supaya hak negeri tidak dinafikan sekali lagi. Keuntungan hasil bumi mesti kembali kepada rakyat negeri, bukan hanya kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau menambah, China kini menguasai lebih 60 peratus pengeluaran REE dunia kerana memberi tumpuan kepada industri hiliran bernilai tambah tinggi, bukannya sekadar mengeksport bahan mentah.
Usul berkenaan telah disokong sebulat suara oleh lebih 750 perwakilan yang hadir.