Pas serah kepada Majlis Presiden tentukan Pengerusi PN

ALOR SETAR - Pas menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada Majlis Presiden mengenai siapa layak dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, segala perkara dasar melibatkan PN diputuskan melalui mesyuarat Majlis Tertinggi sebelum dibawa ke peringkat Majlis Presiden yang merupakan badan tertinggi gabungan itu.

Menurutnya, biarpun Pas memiliki jumlah kerusi paling banyak dalam PN, namun parti itu tidak membuat sebarang tuntutan dan semua perkara dibincangkan secara bersama.

“Majlis Presiden akan memutuskan siapa yang akan menjadi Pengerusi PN. Kita akan bawa perkara ini ke mesyuarat dan selesaikan dengan baik serta penuh harmoni,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat ke-66 di Kompleks Pas Kedah di sini pada Jumaat.

**media[3271157]**

Ketika ini, Pengerusi PN disandang oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Pas yakin potensi PN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) justeru parti itu perlu mendukung perjuangan bersama demi kepentingan rakyat Malaysia.

“Potensi PN hadapi PRU16 sangat besar termasuk harapan rakyat kepada Pas. Kita akan dukung sebaik mungkin demi rakyat,” katanya.

Mengulas mengenai sokongan terhadap parti itu, Tuan Ibrahim jelaskan, masyarakat kini semakin memahami perjuangan sebenar Pas setelah diberi peluang mentadbir Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Kadang-kadang mereka tak dapat maklumat jelas. Pas bermusuh dengan UMNO berpuluh-puluh tahun menyebabkan imej Pas tidak digambarkan dengan betul.

“Sehinggalah kita berjaya tadbir Kelantan dan Terengganu, orang ramai mula melihat bagaimana sebenarnya perjuangan Pas,” ujarnya.

Tambah beliau, apabila Pas berada dalam Kerajaan Persekutuan hampir tiga tahun, orang ramai termasuk bukan Islam dapat melihat sendiri bahawa Pas bukan parti ekstrem dan tidak mengenepikan kepentingan kaum lain.

“Saya yakin sokongan makin bertambah. peranan kita adalah membawa mereka melihat sendiri apa yang berlaku di negeri ditadbir Pas,” katanya.

Tuan Ibrahim percaya sokongan di kawasan bandar juga semakin baik apabila masyarakat menilai sendiri pentadbiran Pas yang menghormati kehidupan, agama serta budaya pelbagai kaum.