PRN Sabah: UMNO, BN sedia berdepan saingan tiga penjuru

PONTIAN - [DIKEMAS KINI] UMNO dan Barisan Nasional (BN) bersedia menghadapi saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Ketua Sekreteriat War Room UMNO Pusat, Datuk Seri Ahmad Maslan, walaupun kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) memberi kelebihan dari segi jumlah kerusi, namun persiapan jentera tetap perlu diperkemaskan bagi memastikan kemenangan.

“Kalau kita dapat banyak kerusi bertanding, kemungkinan lebih banyak peluang kerusi yang kita boleh menang tetapi jangan hanya bergantung pada jumlah kerusi itu tanpa persiapan rapi.

“Di Sabah, saingan tiga penjuru atau lebih adalah perkara biasa. Ada saingan sembilan, sepuluh hingga sebelas penjuru pada PRN sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Api-api pada Ahad.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, PH dan BN mempunyai kekuatan kerana menggabungkan parti tempatan dan nasional.

"Sekiranya orang cakap PH dan BN ini parti Malaya, itu tidak betul tetapi PH dan BN adalah parti lokal dan nasional. Ini kerana pemimpin di Sabah merupakan orang tempatan.

"Selain daripada itu, UMNO dan BN lebih lama berada dalam politik Sabah berbanding Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," ujarnya.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian, yakin dengan pertambahan jumlah kerusi yang akan ditandingi di Sabah, BN dan PH mempunyai keupayaan lebih besar untuk menang.

Pada Jumaat, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan muktamad BN dan UMNO Sabah untuk tidak bekerjasama dengan GRS pada pilihan raya negeri berkenaan.

Ahmad Zahid berkata, sebaliknya parti itu memutuskan hanya akan bekerjasama dengan PH pada PRN17 Sabah.

Mengikut peruntukan, Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 Nov ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus membuka laluan kepada PRN17.

Pada PRN Sabah yang diadakan pada September 2020, BN menang 14 kerusi iaitu Pantai Manis, Tanjung Keramat, Karambunai, Pantai Dalit, Usukan, Tempasuk, Bengkoka, Lamag, Sukau, Sugut, Sungai Sibuga, Sungai Manila, Balung dan Tanjung Batu.