Armada Bersatu lapor polis individu cetus kekecohan ketika PAT

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang mencetuskan kekecohan pada malam perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti berkenaan.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid berkata, laporan itu dibuat oleh Ketua Sekuriti merangkap Timbalan Komandan Briged Armada Bersatu, Afiq Nardin, sekitar jam 12 tengah malam Ahad di Balai Polis Taman Sri Muda.

Menurut beliau, sayap berkenaan turut menghantar satu laporan disiplin kepada Lembaga Disiplin Bersatu pada jam 1.30 pagi hari sama untuk tindakan lanjut.

Jelasnya lagi, beberapa individu yang terlibat dalam insiden berkenaan turut disahkan bukan ahli Armada parti memandangkan anggota sepatutnya berusia antara 18 hingga 35 tahun, memberi gambaran bahawa ia mungkin dilakukan golongan lebih berusia.

“Dalam laporan disiplin tersebut, kami menyenaraikan ketidakpuasan hati khususnya apabila perkara itu memalukan dan berlaku di depan khalayak ramai.

“Lembaga Disiplin Bersatu dan pihak polis sedang menyiasat perkara tersebut serta menemubual individu terlibat. Kita tidak pasti sama ada ia dirancang lebih awal atau berlaku secara spontan.

“Tetapi sebelum program (pagi ini) bermula, kesemua mereka memohon maaf dan dibenarkan memasuki dewan perbahasan. Walaupun permohonan maaf dibuat, tindakan tetap akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sewaktu perhimpunan berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan PAT Bersatu kecoh apabila berlaku insiden pergelutan dan tolak-menolak ketika Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedang menyampaikan ucapan dasar.

Kekecohan tercetus di bahagian tengah dewan, dipercayai melibatkan perwakilan parti yang tidak berpuas hati.

Harris Idaham berpandangan tiada masalah sekiranya prinsip kebebasan bersuara menjadi pegangan, namun ia perlu disesuaikan dengan adab dan sopan santun, apatah lagi ketika majlis berlangsung.

“PAT ini ruang untuk kita mendengar perbahasan daripada perwakilan setiap negeri yang membawa dasar dan perkara yang dirasakan perlu, bukannya orang yang terjerit-jerit atas kerusi. Itu kita tidak setuju.

“Keberadaan Armada Bersatu khususnya pasukan briged di PAT adalah untuk menjaga keamanan dan pendirian kami bahawa walaupun kebebasan bersuara dipromosikan, ia mesti dilakukan dengan tertib,” ujarnya.

Mengulas mengenai khabar angin wujudnya akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan Muhyiddin sebagai presiden, Harris Idaham berpendapat perkara itu tidak mungkin berlaku memandangkan bekas perdana menteri terbabit dipilih sehingga tamat penggal pada 2027.

Jelas Ketua Bahagian Bersatu Balik Pulau itu, tidak ada cara lain untuk menjatuhkan Muhyiddin sebelum tempoh berkenaan.

“Kalau kumpul SD seperti mana khabar angin yang bertebaran baru-baru ini, SD itu hendak dibawa ke mana dan siapa yang mahu menerimanya?

“Jadi, Armada Bersatu teguh dengan keputusan pemilihan parti pada 2024, yang mana pemimpin dilantik tetap akan memegang jawatan sehingga 2027 atau tempoh selanjutnya jika ada,” katanya lagi.