SEREMBAN - Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) dinasihatkan membawa pandangan atau ketidakpuasan hati mereka ke Mesyuarat Dewan Tertinggi parti untuk dibincangkan, bukannya disuarakan secara terbuka.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia bagi mengelakkan salah tafsir pihak luar sehingga boleh merosakkkan keharmonian dalam parti terbabit.
"Nasihat saya satu saja, jika ada apa-apa pandangan, hasrat atau cadangan bawalah ke dalam mesyuarat Dewan Tertinggi, tak perlulah bercakap di luar, yang kadang-kadang boleh disalah erti orang.
"Lebih baik pemimpin parti komponen bertemu dan berbincang dalam Dewan Tertinggi sekali gus mengelak memberi pandangan yang amat negatif kepada parti sendiri," katanya ditemui pemberita pada program Karnival Kemerdekaan Kawasan Rukun Tetangga Taman Pinggiran Senawang di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Biro Media MIC Kebangsaan, L Siva Subramaniam yang dilaporkan berkata, mereka memberi kata dua kepada BN supaya segera melaksanakan reformasi dalaman dan memberikan kuasa yang setimpal kepada parti itu atau berisiko kehilangan salah satu rakan komponen terasnya.
Katanya, MIC tidak sanggup lagi menjadi pemerhati bisu dalam landskap politik yang semakin meminggirkan suara mereka, selain terus menunggu janji kosong atau duduk di tepi tanpa kuasa sebenar
Mengulas lanjut Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, mesyuarat Dewan Tertinggi sememangnya sentiasa diadakan dan itu adalah platform untuk setiap pemimpin parti komponen meluahkan isi hati mereka.
Bagaimanapun beliau memberi teguran kepada sesetengah pemimpin parti yang memilih untuk berdiam di dalam mesyuarat tetapi kemudiannya bercakap di luar.
"Kalau itu isi hati, beritahulah. Jangan isi hati itu dipendam dalam mesyuarat, tapi di luar cakap lain.
"Jadi, tak elok macam itu. Ia akan merosakkkan suasana keharmonian dalam BN,"katanya.
Ditanya keperluan MIC dan MCA untuk terus bersama BN, Mohamad berkata, ia sebaiknya begitu kerana parti komponen tersebut telah bersama-sama UMNO membina negara sejak sebelum kemerdekaan lagi.