SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa bahawa peluang pendidikan tinggi di bawah Kerajaan Madani ketika ini telah mewujudkan polarisasi dua darjat melalui langkah yang disifatkan sebagai mengkomersialkan institusi pendidikan tinggi awam.
Ketua Armada Bersatu, Muhammad Hilman Idham mendakwa sikap sedemikian jelas mengehadkan akses pendidikan kepada golongan yang tidak mampu menanggung kos pengajian yang semakin meningkat.
“Dewan Rakyat baru-baru ini diberitahu bahawa jumlah pelajar asing di universiti awam hanyalah 21.3 peratus daripada jumlah mahasiswa.
“Data rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mencatatkan nisbah kemasukan pelajar asing berbanding pelajar tempatan semakin mengecil, daripada kira-kira 1:17 pada tahun 2018 kepada sekitar 1:10 pada tahun 2024,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Armada Bersatu 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, pada Sabtu.
Turut hadir, Presiden Bersatu merangkap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin; dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Muhammad Hilman menjelaskan bahawa nisbah tersebut membuktikan pertambahan kemasukan pelajar asing telah mengatasi pelajar tempatan.
“Sesungguhnya, pertambahan kadar kemasukan pelajar asing ini telah merampas peluang pendidikan yang sepatutnya diisi oleh anak bangsa kita.
“Dasar komersial sedemikian juga merupakan satu bentuk pengkhianatan terhadap mandat dan tujuan penubuhan universiti awam, yang seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat Malaysia. Peluang pendidikan kini diniagakan untuk mengisi kantung universiti yang semakin menyusut,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menolak hujah bahawa kemasukan pelajar asing tidak menjejaskan peluang anak tempatan.
Tegasnya, apabila tempat pengajian, penginapan dan kemudahan makmal yang dibangunkan dengan dana rakyat tidak dimanfaatkan oleh anak-anak yang kurang berkemampuan, maka ia adalah suatu bentuk kezaliman dan ketidakadilan yang menggelapkan masa depan dan destini anak watan.