SHAH ALAM - Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan secara tidak rasmi dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA serta MIC berhubung penyertaan mereka dalam Perikatan Nasional (PN).
Mohamed Azmin berkata, pertemuan itu merupakan satu permulaan yang baik apabila kedua-dua pihak bersedia untuk mengadakan perbincangan bersama.
“Perbincangan tidak rasmi sentiasa berlaku bukan sahaja dengan MCA dan MIC tetapi semua pihak yang bersedia untuk sama-sama dalam satu gabungan demi meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepartian atau peribadi.
“Apatah lagi MCA dan MIC rakan-rakan kita. Mereka pernah duduk dalam kerajaan sama di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Mereka juga mengakui bahawa dasar-dasar yang diperkenalkan PN adalah adil untuk semua rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah Mohamed Azmin, beliau percaya pengalaman MCA dan MIC dapat membantu PN dalam usaha menggubal dasar yang lebih progresif khususnya dalam suasana ekonomi mencabar.
“Bahkan pandangan dan idea baharu termasuk golongan anak muda sangat diperlukan.
“Bagaimana kita dapat menyelesaikan dan menyediakan solution bagi mereka yang memerlukan bantuan dan dukungan daripada kerajaan,” ujarnya.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan ada cubaan ‘memancing’ MCA dan MIC menyertai PN menjelang PRU16.
Kenyataan itu susulan ‘pelawaan’ Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada 31 Ogos lalu supaya kedua-dua parti bergabung dengan PN.
Bulan lalu, Presiden MIC, SA Vigneswaran mengesahkan parti itu mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan PN.