SHAH ALAM - Ahli serta pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya menghentikan budaya menghasut yang boleh merosakkan parti.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, budaya sedemikian tidak wujud dalam keluarga besar Bersatu.
Justeru menurut beliau, semua ahli dan pemimpin parti perlu fokus untuk mencapai matlamat utama sebagai parti yang memperjuang kepentingan agama, bangsa dan negara.
"Kepada semua, apa pun cabaran di hadapan, kita hadapi bersama. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Jangan dibawa budaya yang tidak baik. Jangan dibawa budaya yang boleh merosakkan ke dalam parti ini. .
"Tidak ada budaya surat layang, tidak ada budaya cucuk-mencucuk, ini adalah keluarga besar," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Sayap-Sayap Bersatu 2025 di sini pada Sabtu.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan maksud budaya surat layang dan cucuk-mencucuk yang dinyatakan.
Sebelum ini, wujud surat layang yang tersebar di media sosial mengaitkan Hamzah yang juga ketua pembangkang didakwa bertindak sebagai 'broker' bagi menggerakkan cadangan penubuhan Majlis Eksekutif Perikatan Nasional (PN).
Penubuhan tersebut dikatakan sebagai usaha menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yasin daripada jawatan Presiden Bersatu.
Perkara tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan ahli dan penyokong parti tersebut yang mahu ia dipandang serius.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan surat layang yang menyentuh isu integriti pemimpin utama tidak boleh dijadikan sandaran kerana kesahihan kandungannya belum dapat dipastikan.
Beliau mempersoalkan asas tuduhan yang dilemparkan, sambil menyifatkan ia satu muslihat untuk memecahbelahkan parti.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, sejarah mengajar bahawa kekuasaan tidak selamanya kekal dan ALLAH SWT menggilirkan kemenangan sebagai peringatan.
"Buat masa ini, kita semua harus sedar di depan kita api, di belakang kita duri, hanya yang tabah sahaja mampu harungi.
"Makanya, saya titipkan pesan kepada Srikandi, Armada, Srikandi Muda dan Bersekutu. Gerakkanlah seluruh kekuatan menjadi benteng parti, membela rakyat, dan mempertahankan negara," katanya.