'Srikandi Muda 'arkitek' kemenangan Bersatu'

SHAH ALAM – Peranan wanita muda dalam arena politik negara tidak boleh dipandang ringan kerana golongan itu merupakan nadi kepada kejayaan parti.

Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Ezzati Azmi berkata, hampir 40 peratus pemimpin di Malaysia terdiri daripada wanita dan sebahagian besar daripadanya adalah wanita muda.

Beliau berpandangan, adalah mustahil untuk mana-mana wanita dalam parti menang tanpa penglibatan golongan wanita muda seperti Srikandi Muda Bersatu.

"Bagaimanapun, Bersatu tidak pernah meminggirkan wanita muda, sebaliknya kita bimbing tangan mereka, kita beri tunjuk ajar, kita tolak mereka ke hadapan.

"Tangan wanita memang lembut tetapi tangan wanita juga mampu untuk membongkar dunia dan kalau kita mampu untuk membongkar dunia. Insya-ALLAH, kita juga mampu untuk membongkar Putrajaya," katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Sayap-Sayap Bersatu di Pusat Konvesyen Ideal (IDCC) Shah Alam, pada Sabtu.

Justeru, Nurul Ezzati menegaskan Srikandi Muda bukan sekadar pelengkap, sebaliknya arkitek kepada kemenangan parti.

Dalam pada itu, beliau menekankan dasar ekonomi negara perlu memberi tumpuan khusus kepada golongan wanita muda termasuk dalam bidang pekerjaan.

"Antara lain, insentif khas perlu diberikan kepada syarikat untuk menggaji rakyat wanita terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta ekonomi digital," ujarnya.

Beliau turut membangkitkan laporan Bank Dunia yang mendedahkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita muda masih rendah berbanding negara jiran.

"Kadar penyertaan tenaga kerja wanita muda masih berada pada tahap 50 peratus sahaja, jauh lebih rendah berbanding Singapura dan Thailand.

"Ini bermakna hampir separuh daripada potensi tenaga kerja wanita muda masih belum dimanfaatkan oleh pasaran," menurut beliau.