MCA masih terperangkap sedangkan MIC sudah melangkah - Lian Ker

SHAH ALAM - MCA dilihat masih terperangkap dalam kelangsungan hala tuju politik berbanding MIC yang lebih jelas dan tegas untuk melangkah daripada terus menjadi sekadar pelengkap ‘hiasan’ dalam Barisan Nasional (BN).

Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, perkara itu membimbangkan kerana kepimpinan parti berkenaan kini tidak menunjukkan ketegasan pada saat paling diperlukan.

Beliau turut memberi amaran bahawa akar umbi mungkin akan mencari haluan sendiri, manakala kepimpinan pusat terus tercungap-cungap mengejar keadaan.

“Dua parti kecil BN iaitu MCA dan MIC kini berada di persimpangan. UMNO semakin mesra dengan DAP sehingga seolah-olah membentuk gabungan tidak berdaftar ‘UMDAP’ apabila semua Ahli Parlimen DAP digerakkan untuk ‘menghadap’ di ibu pejabat UMNO baru-baru ini.

“Bagi MCA dan MIC, persoalannya bukan lagi tentang pengaruh tetapi tentang kelangsungan hidup politik mereka. Adakah masih relevan atau sekadar pelengkap hiasan dalam BN dengan lantikan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan pegawai menteri? Namun, reaksi kedua-duanya sangat berbeza,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.

Tambahnya, MIC telah memilih untuk menguji hala tuju dengan berani melangkah apabila pimpinan parti itu menegaskan mereka mempunyai autonomi untuk menentukan arah sendiri dan tidak akan menunggu MCA.

“Destinasi mungkin belum jelas tetapi sekurang-kurangnya MIC sudah mula bergerak mengatur langkah percubaan, memberi isyarat bahawa mereka tidak akan hanya menunggu palu jatuh,” katanya.

Sebaliknya, ujar beliau, MCA terus terperangkap dalam kitaran penangguhan.

“Mula-mula dikatakan keputusan akan diserahkan kepada perwakilan bahagian, kemudian bola ditendang kepada perwakilan negeri.

“Akhirnya diumumkan ia akan diputuskan oleh perwakilan pusat tetapi hanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan yang ditunda ke hujung tahun ini. Ini bukan konsultasi, ini hanyalah penangguhan yang disamarkan sebagai proses.

“Jika pemimpin MCA gagal memimpin, akar umbi mungkin akan mencari haluan sendiri. Disebabkan itu, beberapa pemimpin Pemuda MCA telah melompat ke parti lain,” jelas beliau.

Menurut Lian Ker, UMNO sudah membuktikan mereka tidak lagi menunggu konsensus BN untuk membuat keputusan besar, manakala MIC melalui Setiausaha Agungnya menegaskan tidak akan menunggu MCA untuk bertindak.

“MCA sebaliknya masih bermain bola di kawasan sendiri, permainan mungkin tamat sebelum mereka dapat menendang untuk menjaringkan gol.

“Namun dalam politik, tiada wisel penamat dan kelewatan sering kali merupakan keputusan paling mahal yang terpaksa dibayar,” katanya.