'BN hanya ditawar 8 kerusi DUN oleh GRS' - Salleh Said Keruak

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) hanya ditawarkan lapan kerusi oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi rundingan untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang mendedahkan perkara tersebut berkata, terdapat ura-ura seorang pemimpin komponen GRS mengatakan bahawa lapan kerusi itu sudah terlalu banyak untuk BN sedangkan parti sebenarnya mempunyai 14 kerusi 'incumbency' hasil kemenangan PRN lepas.

Menurut beliau, kenyataan sebegitu amat menyakitkan hati kerana ia seolah-olah tidak menghormati BN dan menafikan sumbangan serta kekuatan parti di Sabah.

”Asas rundingan agihan kerusi adalah jelas, kerusi yang dimenangi pada PRN lalu kekal kepada parti asal (incumbency rule). Jika ada pertindihan dan pertukaran, ia mesti diselesaikan melalui persetujuan. Prinsip ini adil dan logik.

”Rundingan dengan GRS menjadi masalah kerana BN hanya ditawarkan lapan kerusi, sedangkan BN mempunyai 14 kerusi 'incumbency' hasil kemenangan PRN lalu.

”BN berpendirian tegas tidak bersetuju dengan cadangan yang jelas merugikan dan tidak adil. Ini konsisten dengan kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti takkan berkompromi jika asas rundingan tidak dihormati,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Ahmad Zahid mengumumkan keputusan muktamad bahawa BN dan UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS.

Ahmad Zahid sebaliknya memaklumkan, parti itu memutuskan hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN17 Sabah tidak lama lagi.

Salleh yang juga Bendahari UMNO Sabah berpandangan, BN sentiasa terbuka menjalinkan perbincangan dengan sesiapa pun dalam suasana muafakat dan sentiasa mengutamakan kepentingan Sabah.

”Dengan PH, rundingan berjalan lancar kerana kedua-dua pihak menghormati asas ini. Di mana terdapat pertindihan, 'swap' digunakan.

”Hasilnya hampir selesai, menunjukkan kesediaan BN–PH bekerjasama dalam semangat Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau.

Untuk rekod, jumlah 14 kerusi yang dimenangi BN ketika PRN16 Sabah pada September 2020 ialah Pantai Manis, Tanjung Keramat, Karambunai, Pantai Dalit, Usukan, Tempasuk, Bengkoka, Lamag, Sukau, Sugut, Sungai Sibuga, Sungai Manila, Balung dan Tanjung Batu.