SHAH ALAM – MIC memberi kata dua kepada Barisan Nasional (BN) supaya segera melaksanakan reformasi dalaman dan memberikan kuasa yang setimpal kepada parti itu, atau berisiko kehilangan salah satu rakan komponen terasnya.
Ketua Biro Media MIC Kebangsaan, L Siva Subramaniam berkata, MIC tidak sanggup lagi menjadi pemerhati bisu dalam landskap politik yang semakin meminggirkan suara mereka, selain terus menunggu janji kosong atau duduk di tepi tanpa kuasa sebenar.
Justeru, MIC menuntut hak yang setimpal untuk mencorakkan masa depan bangsa dan negara, bukan sekadar menjadi alat simbolik atau 'token' politik.
"Jika BN tidak sanggup memberikan pengaruh yang sebenar, kedudukan dalam Kabinet, dan peluang untuk menyuarakan suara rakyat kami, maka MIC terpaksa mempertimbangkan pilihan sukar — meninggalkan BN dan mencari jalan lain yang lebih menghormati mandat kami.
"Masa untuk BN bertindak sudah tamat! Ini bukan ugutan kosong, tetapi satu amaran jelas bahawa kesabaran kami ada hadnya.
"Saya mendesak kepimpinan tertinggi BN untuk memilih — sama ada berikan kuasa dan peluang kepada MIC untuk membela rakyat, atau bersedialah kehilangan mandat sebagai parti politik induk untuk kaum India," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa MIC Kedah telah meluluskan resolusi untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan tidak menolak kemungkinan meninggalkan BN.
Bagaimanapun, MIC Kedah memaklumkan bahawa keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti.
Susulan perkembangan itu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan media sebagai mempelawa MIC untuk menyertai PN.
Terbaharu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui wujud pertemuan dan perbincangan tidak rasmi antara PN, MCA dan MIC.
Subramaniam menambah, MIC mendengar suara akar umbi yang tidak mahu terus dipinggirkan, dan keputusan akhir akan dibuat pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang sekiranya kepimpinan BN masih bersikap acuh tak acuh terhadap desakan tersebut.
“Kami tegaskan — reformasi atau perpisahan. MIC berdiri bukan sahaja untuk mempertahankan hak komuniti India Malaysia tetapi juga untuk memastikan suara kami didengar dan dihormati dalam arus politik negara.
“Kami berikrar untuk berjuang tanpa kompromi demi masa depan yang lebih adil, inklusif dan bermaruah,” katanya.