AMPANG – Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ampang menyatakan sokongan penuh terhadap Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan menegaskan sebarang usaha untuk memburukkannya tidak akan berjaya.
Menurut Ketua Bahagian Bersatu Ampang, Mohd Isa Mohd Saidi, kenyataan itu selaras dengan pendirian Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya yang sebelum ini turut mengecam tindakan penyebaran surat layang di kalangan pendokong parti.
“Dalam zaman moden ini, kaedah penyebaran bukan lagi melalui surat dicetak, tetapi dalam bentuk artikel, komen tanpa nama atau video ciptaan AI yang disebarkan melalui WhatsApp.
“Menariknya, semua tulisan tanpa nama itu membawa mesej sama iaitu menyerang Datuk Seri Hamzah, seolah-olah ia gerakan terancang,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau mendakwa, serangan itu hanya ditumpukan kepada Hamzah tanpa menyentuh tokoh-tokoh lain dalam parti.
Dakwanya lagi, penyebaran mesej berunsur fitnah dalam kumpulan WhatsApp penyokong Bersatu itu menimbulkan persepsi bahawa ia dilakukan secara tersusun oleh pihak dalaman.
“Masalah komentar tanpa nama ini sudah lama membarah dalam Bersatu. Dahulu, ia dipetik daripada media massa, hari ini pula ia merebak ke media sosial,” ujarnya lagi.
Beliau berpandangan usaha itu bertujuan memecahbelahkan parti kerana kepimpinan Hamzah di Parlimen semakin menyerlah dan beliau dilihat berpotensi menjadi pemimpin nombor satu parti.
“Saya yakin bahawa saya dan ramai lagi Ketua Bahagian Bersatu tidak berganjak daripada memberi sokongan padu kepada Hamzah sebagai pemimpin parti yang dipilih secara sah dalam pemilihan tahun lalu selepas beliau dinamakan oleh Tan Sri Presiden.
“Usaha songsang menyebarkan surat layang memburukkan Hamzah mesti dipatahkan kerana bilangan musuh pengecut ini kecil dan tidak mendapat sokongan akar umbi. Sebab itulah mereka sembunyikan identiti diri,” tegasnya.
Mohd Isa turut menegaskan bahawa hanya mereka yang tidak mengenali budaya Bersatu akan percaya kepada cerita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak berani menzahirkan identiti.