PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini giat merangka strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, selain telah mengenal pasti beberapa kerusi tumpuan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Naib Presiden yang juga Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah membentangkan laporan awal mengenai kerusi berkenaan kepada kepimpinan pusat parti.
“Bilangan kerusi tumpuan itu ditentukan hasil daripada kajian dan dapatan di lapangan. Laporan telahpun dibentangkan kepada Presiden, cuma kita merasakan waktu yang sesuai untuk umumkan kawasan-kawasan tumpuan Bersatu.
“Beliau (Ronald Kiandee) turut melaporkan mengenai persiapan badan pimpinan negeri, termasuk cadangan calon yang telah dikemukakan kepada Presiden untuk diputuskan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media berkaitan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu ke-8 di sini pada Selasa.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 akan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus akan membawa kepada pelaksanaan PRN17.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, buat masa ini kebanyakan parti di Sabah telah menyatakan pendirian masing-masing.
“Sebagai contoh, Parti Warisan telah menyatakan akan bertanding secara solo, dan Bersatu juga mempunyai pendirian tersendiri,” katanya.
Beliau menambah, selepas PRN nanti, parti-parti yang menang perlu membentuk kerajaan yang stabil demi memastikan kesejahteraan rakyat Sabah.
Sementara itu, mengenai tarikh PRN, beliau menjelaskan bahawa setakat ini masih belum ada ketetapan rasmi daripada kerajaan negeri.
“Banyak andaian dibuat, tetapi saya percaya kerajaan negeri sedang mencari masa yang sesuai untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Azmin menegaskan bahawa Bersatu akan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan strategi terbaik bagi memastikan kemenangan parti.