Muhyiddin sihat, sedia pimpin PAT Bersatu hujung minggu ini

PETALING JAYA – Kesihatan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin disahkan berada dalam keadaan baik dan bersedia untuk memimpin Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 hujung minggu ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Muhyiddin kekal aktif malah kini sedang menyiapkan ucapan dasar yang bakal menjadi tumpuan pada PAT kali ini.

“Saya berhubung dengan beliau hampir setiap hari khususnya dalam persiapan PAT.

"Beliau cukup bersemangat dan saya kira ucapan dasar yang akan disampaikan nanti sangat komprehensif,” katanya ketika menjawab pertanyaan mengenai tahap kesihatan Ahli Parlimen Pagoh itu pada sidang akhbar berkaitan PAT di Ibu Pejabat Bersatu di sini pada Selasa.

Menurut Azmin, dakwaan mengenai kesihatan Muhyiddin tidak berbangkit kerana beliau menunjukkan komitmen yang tinggi sejak enam bulan lalu dengan turun padang ke negeri dan bahagian.

“Beliau jelas bersedia memimpin parti dengan lebih aktif, malah pimpinan Bersatu di semua peringkat kini juga cukup bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” ujarnya.

PAT Bersatu 2025 dijadual berlangsung pada 6 dan 7 September di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam dengan kehadiran 2,555 perwakilan daripada 202 bahagian seluruh negara.

Mengulas mengenai PAT, Mohamed Azmin berkata, Bersatu menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan diadakan pada tahun hadapan bersama beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Untuk maksud itu, PAT kali ini menjadi medan penting untuk Bersatu menyemak prestasi, memperkukuh latihan jentera serta membina kerjasama strategik dengan parti-parti anggota Perikatan Nasional (PN)," katanya.

Katanya, ucapan dasar Presiden Bersatu dijangka menyentuh halatuju menghadapi PRU16 selain memberi penekanan kepada isu kos sara hidup, peluang pekerjaan anak muda, ekonomi, perdagangan, pelaburan, serta isu Islam dan keharmonian rakyat.

"Tema PAT tahun ini ialah 'Bersatu Menuju Kemenangan' yang menekankan keutuhan muafakat, kepelbagaian pandangan dan semangat kebersamaan sebagai kunci kekuatan parti," katanya.

Menurut beliau, seramai 94 jemputan khas termasuk wakil kedutaan, pemimpin parti sahabat serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) turut dijangka hadir, selain pengesahan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad.