Pas cuba 'pancing' komponen BN dengan tawaran tak pasti - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pelawaan Pas kepada MIC dan MCA untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai usaha untuk memancing parti komponen BN dengan tawaran tidak pasti.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga dilihat sebagai bersifat peribadi.

"Saya tahu ada usaha-usaha dijalankan oleh mereka untuk memancing rakan-rakan dalam komponen BN dengan tawaran-tawaran yang belum tentu menjanjikan satu manifestasi yang menguntungkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Isnin.

Terdahulu, Tuan Ibrahim dalam wawancara akhbar tempatan mengalu-alukan MIC dan MCA untuk menyertai gabungan PN susulan ketidakpuasan hati rakan komponen BN yang dibiarkan tanpa perwakilan dalam kerajaan.

MIC menyertai Perikatan bersama UMNO dan MCA pada tahun 1955. Kini Perikatan bertukar nama kepada BN sejak 1974.

Sebelum ini, beberapa pemimpin MCA turut menyuarakan rasa tidak senang terhadap hubungan akrab UMNO-DAP yang dilihat bercanggah dengan pendirian politik lama parti itu.

Isu ini semakin hangat apabila MIC Kedah baru-baru ini meluluskan resolusi untuk bekerjasama dengan PN dan tidak menolak kemungkinan meninggalkan BN.

Bagaimanapun, MIC Kedah memaklumkan keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti.

Hubungan mesra UMNO dan DAP mula menjadi perhatian selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan pada akhir 2022 yang menyaksikan kedua-dua parti sebelum ini bermusuhan kini bergabung dalam pentadbiran negara.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan pucuk pimpinan MIC belum mengadakan perbincangan dengan beliau berhubung resolusi tersebut.

"Resolusi itu datang dari satu atau dua bahagian dan pucuk pimpinan mereka belum pun mengadakan perbincangan dengan saya apatah lagi ia tidak dibawa ke Dewan Tertinggi BN," kata Timbalan Perdana Menteri itu.