KERJASAMA politik UMNO, MCA dan MIC sejak sebelum merdeka bukan sekadar strategi pilihan raya, tetapi asas pembentukan Tanah Melayu pada 1957 sebelum diperluas menjadi Malaysia pada 1963.
Gabungan itu bermula daripada kejayaan bersejarah Pilihan Raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur 1952, apabila MCA dan MIC membawa sokongan masyarakat Cina dan India kepada UMNO membentuk Parti Perikatan.
MCA ketika itu bukan sekadar menyumbang undi, malah menjadi tonggak kewangan dan logistik yang tidak dimiliki UMNO.
**media[3258937]**
Tokoh-tokoh korporat seperti Tun Tan Cheng Lock dan Tun Tan Siew Sin membiayai kempen serta menyediakan kenderaan dan bahan cetakan.
Lebih signifikan, MCA dan MIC berperanan sebagai jambatan keyakinan antara komuniti perniagaan bukan Melayu dengan kepimpinan Melayu dan membina imej perpaduan yang mempercepatkan proses rundingan kemerdekaan.
**media[3258935]**
Namun, landskap politik kini berubah. Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon mengakui hubungan tiga parti teras BN berdepan cabaran baharu susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Exco Kerajaan Negeri Johor itu berkata, MCA kekal berpegang kepada resolusi tidak bekerjasama dengan DAP, walaupun akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya BN menyertai kerajaan.
Sehubungan itu, beliau mahu satu mesyuarat khas Dewan Tertinggi BN diadakan bagi memberi ruang UMNO menjelaskan hala tuju koalisi berkenaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Hubungan UMNO, MCA dan MIC masih erat di negeri, tetapi longgar di pusat. Konsensus BN mesti dikekalkan.
“UMNO perlu menjelaskan pendirian mereka terhadap kerjasama bersama PH-DAP, selain mempunyai strategi memperkukuh koalisi. MCA bersedia menghadapi apa-apa cabaran dan akan membincangkannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan November ini,” katanya kepada Sinar Harian.
**media[3258936]**
Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Ti Lian Ker pula menyifatkan kerjasama UMNO-DAP atau ‘UMDAP’ sebagai pakatan oportunis tanpa prinsip perjuangan politik jangka panjang.
Beliau turut mengingatkan pemimpin UMNO bahawa DAP suatu ketika dahulu pernah menyerang UMNO habis-habisan dan kini cuba mengambil alih peranan MCA dalam BN.
“MCA memberi peluang kepada Kerajaan Perpaduan pada PRU enam negeri 2023 dengan tidak bertanding, tetapi DAP dilihat semakin galak ‘mengahwini’ UMNO untuk menguburkan BN.
“Saya ingin mengingatkan UMNO supaya cari jalan agar semangat BN mesti dipulihkan dan bukannya digadaikan.
“UMNO juga perlu imbau kembali jasa MCA sewaktu pembentukan negara sebelum merdeka lagi apabila parti itu langsung tidak bersikap oportunis untuk mengambil alih tampuk kepimpinan BN ketika UMNO dibubarkan pada 1988.
“MCA juga kekal mempertahankan UMNO daripada tsunami peralihan pengundi Melayu pada PRU 1999, di mana kelompok sokongan pengundi bukan Melayu menyelamatkan kerajaan BN daripada jatuh akibat gerakan reformasi ketika itu,” tegasnya lagi.
REALITI POLITIK
Sementara itu, penganalisis politik kaum India, Datuk David Gurupatham melihat dilema hala tuju BN dan MIC dari sudut berbeza.
Peguam itu menegaskan, komuniti India masih relevan dalam pembangunan negara dengan MIC tetap dilihat sebagai penyampai wadah perjuangan kaum itu yang lebih dipercayai berbanding parti-parti kaum India lain.
**media[3258938]**
“Saya terkejut ada pihak mempersoalkan peranan MIC. Parti ini berpotensi menjadi kunci kejayaan BN jika diberi peranan lebih besar. Dengan kepercayaan kaum India terhadap kerajaan Anwar semakin terhakis, BN wajar menggunakan peluang ini memperkukuh ‘rumah sendiri’ sebelum memikirkan gabungan luar.
“Sekiranya reputasi MIC dalam BN terus dipersoal dan terhakis, saya percaya parti itu akan buat keputusan matang dan terbaik dalam menentukan hala tuju politik mereka. Mungkin juga parti itu akan buat kejutan, tetapi segalanya bergantung kepada pucuk kepimpinan MIC,” ujarnya.
Bekas Setiausaha BN Pulau Pinang, Azizi Safar pula melihat BN kini berada di persimpangan dilema dengan kaolisi itu tersepit antara keperluan mengekalkan rakan tradisi atau memilih kelangsungan politik dengan merapatkan hubungan bersama PH termasuk DAP.
Menurutnya, pilihan mengekalkan MCA dan MIC membawa nilai sejarah, pengalaman pentadbiran dan rangkaian akar umbi merentasi kaum.
Bagaimanapun, realiti politik semasa dan tekanan kuasa mendorong sebahagian pimpinan UMNO melihat kerjasama dengan PH sebagai jalan pintas segera.
“Persoalannya, adakah ini menguatkan BN atau mempercepatkan penghakisan identitinya?” soal Azizi.
Katanya, dilema ini bukan hanya soal pembahagian kerusi atau strategi pilihan raya tetapi prinsip, kepercayaan dan legasi yang dibina lebih tujuh dekad.
“BN perlu memutuskan sama ada kekal dengan konsensus tiga parti teras atau mengubah haluan dan menerima risiko perpecahan dalaman.
“Langkah taktikal mungkin menjamin kemenangan sementara, tetapi sejarah membuktikan keutuhan gabungan bergantung pada kesetiaan dan persefahaman tulen. Itu yang menjadikan BN dominan lebih enam dekad, namun kini semakin kabur di persimpangan dilema,” jelasnya.
Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah pula menggesa semua pihak dalam BN agar menyelesaikan konflik melibatkan MCA, MIC dan UMNO melalui meja rundingan, bukannya menerusi kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan keadaan.
“Hubungan tiga parti teras BN yang terjalin sejak sebelum merdeka perlu dipertahankan dan sebarang perbezaan pendapat wajar dibincang secara dalaman demi menjaga maruah gabungan.
“Saya turut menyeru pimpinan tertinggi BN memanggil mesyuarat khas bagi mencari kata sepakat, sekali gus memastikan BN kekal relevan dan tidak berpecah akibat perbezaan strategi atau kerjasama dengan parti luar,” katanya.