Insiden serangan Sultan Perak: Pemuda Pas mohon maaf, akui khilaf

POH – Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Hafez Sabri tampil memohon maaf dan mengakui kekhilafan berhubung satu hantaran di Facebook miliknya yang tular sejak semalam berkaitan insiden cubaan seorang wanita menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi itu mendakwa hantaran awal yang dibuatnya telah dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, tindakan menyebut nama kaum tertentu dalam hantaran tersebut telah dibetulkan beberapa minit selepas hantaran asal dimuat naik setelah menyedari maklumat awal yang diperoleh tidak tepat.

“Saya sedar tindakan melanggar kawalan keselamatan tidak boleh dipertahankan tanpa melihat kepada warna kulit siapa yang melakukannya. Fokus saya hanyalah soal keselamatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Perak.

“Saya memohon maaf atas kekhilafan saya dalam isu ini, sebagai manusia saya juga tidak terlepas daripada kesilapan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Hafez berkata, biarpun telah dibetulkan, terdapat pihak yang bertindak pantas mengambil tangkap layar daripada hantaran asal dan menyebarkannya dengan tujuan membina naratif seolah-olah dirinya memainkan isu perkauman.

“Saya tidak menimbulkan isu bangsa atau etnik dalam mempersoalkan bagaimana insiden itu boleh berlaku. Sebaliknya, saya menekankan soal keselamatan Tuanku Sultan yang perlu diperketatkan.

“Niat tidak baik pihak ini jelas apabila mereka hanya menyebarkan hantaran awal, sedangkan pembetulan telah dibuat segera di status saya,” ujarnya.

Menurut Ketua Pemuda Pas Perak itu, pihak berkenaan turut cuba meniup sentimen perpecahan kaum dengan sengaja memanipulasi hantaran tersebut.

Dalam pada itu, Hafez memaklumkan beliau telah membuat laporan polis berhubung penyebaran tangkap layar berkenaan.

Pada Ahad, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Khairol Najib Hashim mengecam tindakan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab oleh Hafez menerusi hantaran di Facebook berkaitan insiden berkenaan.

Bagaimanapun, hantaran tersebut telah dipadam sebelum Pemuda Amanah Perak mendedahkan tangkap layar kenyataan pemimpin muda Pas itu.