KUALA LUMPUR – Kebangkitan rakyat Indonesia yang turun beramai-ramai ke jalan raya di Jakarta bagi menolak usaha melemahkan demokrasi menjadi peringatan kepada Malaysia agar tidak mengulangi kesilapan sama.
Ketua Mobilisasi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Nasional, Rahmat Amran berkata, ribuan warga Indonesia bersuara lantang menuntut agar kuasa tidak dipusatkan pada segelintir pihak serta undang-undang tidak dipinda demi melindungi penguasa.
“Aksi jalanan ini bukan sekadar protes, ia adalah suara rakyat yang muak dengan penyelewengan kuasa dan ketidakadilan,” ujarnya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, situasi hampir sama turut berlaku di Malaysia apabila rakyat bangkit menuntut keadilan, termasuk dalam kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang terkorban akibat kegagalan sistem yang sepatutnya melindungi.
“Ini bukti jelas rakyat Malaysia tidak lagi rela berdiam diri apabila nyawa, masa depan dan maruah bangsa dipermainkan oleh kelalaian serta kepincangan,” ujarnya.
Rahmat berkata, kerajaan dan parti politik di negara ini sering kali membelakangi rakyat dengan lebih sibuk mengumumkan projek gergasi dan agenda mewah, namun alpa mendengar denyut nadi rakyat.
“Sejarah membuktikan, kerajaan yang melupakan rakyat akhirnya akan ditinggalkan rakyat. Amaran ini jelas apabila penguasa leka, rakyat akan bangkit,” ujarnya.
Beliau menambah jurang antara rakyat dan penguasa hanya boleh dirapatkan dengan keberanian rakyat untuk bersuara serta menuntut jawapan terhadap pelbagai skandal dan tragedi yang berlaku.
“Jangan sampai Malaysia terjebak dalam nasib sama seperti Indonesia. Rakyat mempunyai hak sah untuk berhimpun, berkumpul dan menuntut jawapan daripada penguasa.
“Jangan kita tunduk kepada ketakutan, ugutan atau kuasa yang cuba membisukan suara rakyat,” tambahnya.
Rahmat menegaskan suara rakyat tidak akan pernah mati selagi keadilan terus dituntut.