SPRM digesa segera bertindak isu konsesi Menara KL - Bersatu

HULU LANGAT – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa segera mengambil tindakan berhubung pendedahan isu konsesi Menara Kuala Lumpur yang didakwa dianugerahkan kepada anak seorang menteri.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim berkata, pendedahan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) Grik, Fathul Huzir dalam satu sidang akhbar di Dewan Rakyat baru-baru ini, berdasarkan laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurutnya, walaupun kenyataan itu dibuat di luar dewan, amat mengecewakan kerana sehingga kini SPRM masih belum memanggil mana-mana ahli Parlimen PN terbabit untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai dakwaan berunsur rasuah atau salah guna kuasa berkenaan.

“Adakah pendedahan tersebut terlepas daripada perhatian SPRM? Justeru, saya menyeru rakan media serta rakyat Malaysia untuk menyalurkan maklumat ini kepada SPRM.

“Kita tidak mahu membuat penilaian awal, sebaliknya berharap SPRM menjalankan siasatan menyeluruh dan menjelaskan sama ada pemilihan syarikat berkenaan dibuat berasaskan merit atau sebaliknya,” ujarnya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau menegaskan budaya kronisme dan nepotisme tidak wajar menjadi amalan dalam pentadbiran negara selepas 68 tahun merdeka.

Tegasnya, pemberian projek kerajaan bernilai tinggi kepada ahli keluarga atau rakan terdekat mesti dihentikan kerana ia bertentangan dengan prinsip keadilan, ketelusan serta kepentingan rakyat.

“Perikatan Nasional wajar menilai semula penganugerahan projek dan konsesi yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Sekiranya diberi mandat mentadbir negara, langkah ini akan dijadikan antara teras utama dalam manifesto PN menjelang pilihan raya akan datang,” tambahnya.