Kelantan tegas tolak sepenuhnya RUU PSB 2025

KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan kekal dengan pendirian menolak sepenuhnya Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 atau Urban Renewal Act (URA 2025) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 21 Ogos lalu kerana didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta mengganggu kuasa autonomi negeri.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebagaimana Terengganu, Kedah dan Perlis yang berada di bawah gabungan SG4, mereka sebulat suara menolak RUU tersebut kerana ia memberi implikasi besar terhadap hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat.

Menurutnya, RUU berkenaan jelas bertentangan dengan beberapa undang-undang sedia ada termasuk Perlembagaan Persekutuan Perkara 13 yang menjamin hak milik tanah tidak boleh diganggu gugat tanpa mengikut undang-undang.

“Selain itu, ia turut bercanggah dengan Akta Pengambilan Tanah 1960 yang menetapkan kuasa mutlak berhubung tanah di bawah Pihak Berkuasa Negeri, serta Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] yang memperuntukkan urusan perancangan bandar dalam bidang kuasa eksekutif kerajaan negeri,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco di sini, Rabu.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang tetap meneruskan bacaan kali kedua RUU itu walaupun Jawatankuasa Pilihan Parlimen Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi sudah menghantar surat rasmi memohon penangguhan.

Ujarnya, kerajaan Kelantan berpandangan bacaan kali kedua RUU PSB 2025 wajar ditangguhkan sehingga semua isu pokok ini diperhalusi dengan teliti.

“Pendirian ini selari dengan kenyataan bersama negeri SG4 dan juga Jawatankuasa Pilihan Parlimen,” katanya.

Menurut Mohamed Fadzli, kerajaan negeri konsisten bahawa sebarang bentuk pembaharuan undang-undang perlu menghormati kedudukan perlembagaan, memelihara kuasa autonomi negeri dan melindungi hak mutlak pemilik tanah.

“RUU PSB 2025 ditolak sepenuhnya kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan mengganggu kuasa autonomi negeri.

“Pendirian ini adalah muktamad dan tidak boleh diganggu gugat,” tegasnya.