'Akar umbi mahu UMNO kembali payungi orang Melayu' - Akmal Saleh

BESUT - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyatakan akar umbi parti itu mahukan UMNO kembali menjadi ‘payung’ orang Melayu dengan memperkukuh prinsip perjuangan parti.

Pada masa sama, beliau menepis dakwaan yang sering mengaitkannya dengan ejen Perikatan Nasional (PN), sebaliknya menegaskan beliau hanya membawa suara ahli parti yang mahukan UMNO kembali ke landasan asal.

Jelasnya, kenyataan beliau sebelum ini yang menggesa pucuk pimpinan UMNO menilai semula kerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya disalah tafsir kerana ia lahir daripada keresahan ahli di peringkat akar umbi.

“Saya bukan ejen PN, saya bukan ejen sesiapa. Saya adalah ejen ahli-ahli UMNO yang mahu parti ini kekal relevan dan diterima semula oleh rakyat. Apa yang saya suarakan adalah suara mereka yang mendesak perubahan.

“Kalau saya ejen PN, saya boleh duduk dalam PN sahaja. Tapi hari ini kita bawa suara dan juga hasrat akar umbi. Walaupun pahit kita kena terima sebab dalam perjuangan ini tidak semuanya manis, kadang-kadang pahit itu ubat dan ubat itulah boleh mengubati serta menyembuhkan.

“Jadi, kepada yang tuduh saya ejen PN itu, ambil cermin tengok diri sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Pemuda Terengganu sempena sambutan Ulang Tahun ke-76 Pergerakan Pemuda UMNO di Dewan Terbuka Astaka Jerteh, malam Selasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, serangan terhadapnya di media sosial dengan pelbagai gelaran negatif hanya akan melemahkan parti, sedangkan UMNO sepatutnya bersatu menghadapi cabaran semasa.

“Kita tidak perlu menyerang sesama sendiri hanya kerana perbezaan pandangan. Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan sampai menjatuhkan maruah rakan seperjuangan. Fokus kita adalah memulihkan UMNO,” ujarnya.

Menurut Muhamad Akmal, kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan perlu dilihat secara realistik kerana parti kini hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen berbanding lebih 80 kerusi suatu ketika dahulu.

“Hari ini kita sedia maklum bahawa UMNO hanya tinggal 26 kerusi sahaja. Kita menginsafi dan ambil iktibar. Apakah makna yang diberikan rakyat kepada UMNO sehingga tinggal 26 kerusi?

“Itu menunjukkan rakyat mahukan satu gaya politik segar, jauh lebih matang. Rakyat mahukan walaupun kita boleh bersama dengan siapa sahaja, tetapi jangan meninggalkan prinsip perjuangan kita.

“Rakyat mahukan UMNO menjadi ‘payung’ orang Melayu semula,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pemuda UMNO akan terus memainkan peranan penting sebagai benteng hadapan mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara, selaras dengan semangat perjuangan sejak 1949.

“Sejak penubuhan pada 1949, Pemuda UMNO masih bertahan sehingga 76 tahun. Tempoh ini bukan kecil tetapi cukup mematangkan perjuangan Pemuda UMNO. Kalau kita lihat daripada awal penubuhan sehingga hari ini, kita masih konsisten.

“Kita bukan mahu menjatuhkan sesiapa, kita mahu UMNO kembali kuat. Kita tidak boleh selamanya berada di posisi lemah seperti sekarang. Jika kita tidak berubah, rakyat akan terus meninggalkan kita,” ujarnya.

Muhamad Akmal sebelum ini menjadi perhatian apabila nada keras beliau dilihat menggugat keharmonian UMNO dan DAP walaupun kedua-duanya berada dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga terpalit kontroversi apabila menggesa boikot terhadap rangkaian KK Mart susulan isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah, selain membidas cubaan pihak tertentu memujuk ahli UMNO menyertai parti lain.

Tindakan tersebut menerima pelbagai reaksi, namun beliau menegaskan ia dilakukan demi menjaga maruah UMNO dan memastikan aspirasi ahli di peringkat akar umbi terus dibela.