KOTA BHARU - Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan menjalin kerjasama dengan Parti Warisan (Warisan) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu tidak mustahil berlaku dalam landskap politik semasa.
“PN akan bertanding atas tiket gabungan. Kita tidak akan bergerak secara solo kerana parti yang bertanding sendirian sudah tidak relevan. Sebab itu, kita lihat parti-parti kecil turut menyertai gabungan.
“Walaupun begitu, kemungkinan kerjasama dengan Warisan tetap ada kerana dalam politik apa sahaja boleh berlaku, lebih-lebih lagi PRN Sabah belum diumumkan tarikh pembubarannya,” katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan Larian Batik Kota Bharu Bandar Selamat 2025 yang diadakan di Dataran Muhammadi.
Mengulas mengenai persiapan Pas di Sabah, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, kepimpinan parti telah mengarahkan peringkat negeri mengenal pasti calon berpotensi, namun keputusan muktamad akan ditentukan oleh Pas Pusat.
Katanya, peringkat negeri hanya mencalonkan nama, manakala Pas Pusat akan menilai dan memilih calon paling layak berdasarkan pandangan akar umbi.
“Pembahagian kerusi masih dalam rundingan, kita belum boleh sahkan jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana ia bergantung kepada kekuatan parti di Sabah,” jelasnya.
Beliau mengakui Pas tidak pernah memenangi kerusi di Sabah, namun tetap optimis dengan peluang parti dalam PRN kali ini.
“Kalau berjaya menang satu kerusi pun sudah dianggap kejayaan 100 peratus. Setakat ini, kita hanya mempunyai seorang ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dilantik, iaitu Pesuruhjaya Pas Sabah,” katanya.