Takiyuddin sah tidak bertanding jawatan parti

KOTA BHARU - Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan tidak akan bertanding sebarang jawatan dalam pemilihan parti kali ini.

Beliau berkata, sejak lebih 10 tahun lalu beliau tidak pernah bertanding bagi sebarang jawatan, sebaliknya hanya menerima amanah yang diberikan kepadanya.

“Kalau ada pencalonan daripada akar umbi, saya ucap terima kasih atas kepercayaan itu, tetapi besar kemungkinan 99.9 peratus saya tidak akan bertanding.

“Tambahan pula, tahun ini sudah masuk tahun ke-10 saya memegang jawatan Setiausaha Agung, jadi saya fikir tidak perlulah lagi,” katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan Larian Batik Kota Bharu Bandar Selamat 2025 yang diadakan di Dataran Muhammadi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat pada Khamis telah mengumumkan senarai calon yang layak bertanding bagi pemilihan jawatan parti untuk sesi 2025/2027 dengan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden kekal tanpa pertandingan.

Tan Sri Abdul Hadi Awang diumumkan sebagai calon tunggal jawatan Presiden, manakala Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kekal sebagai calon tunggal jawatan Timbalan Presiden.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas Pusat, Wan Rohimi Wan Daud dalam kenyataan, senarai berkenaan melibatkan jawatan di peringkat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dewan Ulama, Dewan Pemuda serta Dewan Muslimat.