SHAH ALAM - DAP Selangor menyifatkan sikap pembuli Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menimbulkan keresahan dan ketakutan dalam kalangan masyarakat Malaysia, walaupun pemilik kedai perkakas terbabit sudah memohon maaf atas kesilapan kibaran Jalur Gemilang yang tidak disengajakan.
Pengerusinya, Ng Sze Han berkata, kesilapan seperti itu seharusnya ditangani secara berhemah, bukannya dijadikan modal untuk membakar sentimen kebencian.
“Cinta negara seharusnya menyatukan, bukan memecahbelahkan. Kesilapan yang tidak disengajakan wajar ditegur secara berhemah, bukan dimanipulasi demi meraih publisiti politik,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Sze Han, patriotisme bukan sekadar memastikan bendera dikibarkan dengan betul, tetapi juga perlu dizahirkan melalui usaha membangunkan masyarakat, memperkukuh ekonomi dan mempererat hubungan antara kaum.
Beliau turut menegaskan bahawa keharmonian kaum adalah aset terbesar negara, manakala mengapi-apikan perkauman disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap masa depan Malaysia.
“DAP Selangor menyokong penuh pendirian Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa penyalahgunaan bendera secara sengaja wajar dikenakan tindakan undang-undang.
"Namun, tindakan mengugut atau memalukan orang awam bukanlah penyelesaian, sebaliknya merosakkan semangat muhibah dan bertentangan dengan prinsip undang-undang,” ujarnya.
Dalam pada itu, DAP Selangor akan melancarkan aktiviti pengedaran Jalur Gemilang membabitkan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta ketua kampung.
Sze Han mengajak seluruh rakyat Malaysia, termasuk peniaga dan persatuan, untuk mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga dan berani sebagai lambang semangat patriotik yang matang dan positif.
“Bersama, kita pelihara keharmonian dan kemakmuran Malaysia demi generasi akan datang,” tambahya.