MIC akui ada perbincangan tidak rasmi dengan PN

KOTA TINGGI – MIC mengakui parti itu ada mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Perikatan Nasional (PN) dalam menentukan hala tuju politiknya.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, perkara itu tidak disembunyikan kerana MIC sentiasa terbuka untuk berbincang ekoran usul dicadangkan akar umbi parti di Kedah dan Pulau Pinang untuk menyokong PN.

“Ya, secara tidak rasmi memang ada perbincangan. Kita tidak sembunyikan apa-apa.

“Ini bukan hubungan sulit, tetapi secara terbuka. Kita akan tentukan hala tuju kita, bukan orang lain,” katanya pada sidang media sempena Konvensyen Perwakilan MIC Negeri Johor ke-79 di Desaru pada Sabtu.

Turut hadir, Pengerusi MIC Johor, K Raven.

Mengulas lanjut, Vigneswaran memaklumkan MIC masih meneliti dengan terperinci hala tuju parti berkenaan sebelum keputusan muktamad dibuat.

Katanya, keputusan yang akan diambil kelak adalah demi kebaikan masyarakat India dan parti.

Menurut beliau, walaupun ada pihak yang menganggap MIC lemah, parti itu tetap kekal relevan kerana berpaksikan kekuatan akar umbi.

"Semua perlu faham, dinamika politik negara sudah berubah. Jika MIC tidak menerima hakikat itu, kami akan hilang.

"MIC terima apabila dikatakan lemah, namun pelik apabila masih ramai yang mahu membincangkan mengenai parti ini.

"Banyak analisis dibuat mengenai MIC, macam-macam yang dikatakan, namun kita tidak percaya. Kita hanya percayakan akar umbi kita sahaja," katanya.

Minggu lalu, media melaporkan MIC Kedah meluluskan usul untuk bekerjasama dengan PN, namun keputusan muktamad masih tertakluk kepada pertimbangan kepimpinan pusat.

Pengerusi MIC Kedah, S K Suresh dilaporkan berkata, keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan pusat parti itu.