SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) akan bertanding di semua kerusi dimenanginya termasuk mengambil semula kerusi tradisi yang sebelum ini diserahkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung agihan kerusi bagi PRN negeri itu yang dijangka diadakan pada tahun ini selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tamat secara automatik pada 11 November.
Mohamad menegaskan, BN berpegang teguh kepada pendirian untuk bertanding semula di kerusi tradisi parti itu yang pernah ‘dihadiahkan’ kepada rakan gabungan ketika PRN Sabah terdahulu.
“Kita akan tetap dengan ketegasan kita untuk bertanding di kerusi yang kita menangi dan juga kerusi-kerusi tradisi yang sebelum ini kita serahkan kepada Bersatu.
“Dulu semasa PRN Sabah, banyak kerusi tradisi UMNO-BN diserahkan kepada Bersatu atas semangat kerjasama. Tapi akhirnya kita ditikam dari belakang. Kita tidak mahu perkara seperti itu berulang lagi,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Rembau di Hotel Royal Chulan, di sini pada Sabtu.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO-BN Sabah perlu menjadi parti dominan selepas PRN kali ini.
Mengulas pengumuman Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyatakan hasrat untuk bertanding di 39 kerusi, Mohamad berkata, perkara tersebut bergantung kepada hasil rundingan yang sedang diusahakan.
“Kita sudah melantik Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung Barisan Nasional untuk merundingkan soal kerusi.
“Apa yang penting, BN dan Pakatan Harapan (PH) telah memuktamadkan untuk bekerjasama menghadapi PRN Sabah. Yang lain-lain masih terbuka,” katanya.
Jelas beliau, BN tidak mahu terlalu mengikat diri dalam rundingan awal, sebaliknya memberi ruang kepada jawatankuasa perunding untuk menentukan bentuk kerjasama dan agihan kerusi yang terbaik.
“Kita mahu supaya rundingan ini dapat dimuktamadkan dengan segera kerana PRN semakin hampir. Jentera di bawah perlu faham dan jelas hala tuju parti untuk menghadapi pilihan raya ini,” ujarnya.