UMNO perlu kembali kepada perjuangan asal, jangan tunduk tekanan DAP - Haslihelmy

KUANTAN - UMNO disaran agar tidak tunduk kepada tekanan politik daripada DAP, sebaliknya kembali memperkukuh perjuangan asal sebagai parti yang membela agama, bangsa dan tanah air.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli menegaskan parti itu perlu memperjelaskan hala tuju serta prinsip perjuangan kepada rakyat.

Menurutnya, beliau sendiri sewaktu bersama parti tersebut sentiasa konsisten menentang ideologi dan pendekatan DAP yang disifatkan bertentangan dengan asas perjuangan UMNO.

“Sebarang kerjasama yang dilihat menggadai prinsip asal parti itu hanya akan menghakis kepercayaan akar umbi dan mencetuskan kekeliruan dalam kalangan penyokong setia.

“Saya tidak pernah berganjak daripada pendirian menolak DAP, ini tiada siapa boleh menafikan.

“Malah, semasa dalam UMNO dahulu, saya lantang bersuara menentang parti itu dan ia kekal sehingga kini,” katanya pada Sabtu.

Bekas calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai itu berkata, tindakan meninggalkan UMNO bukan kerana kecewa, tetapi kerana berpegang kepada prinsip.

Tegasnya, perjuangan politik tidak seharusnya didorong oleh kepentingan peribadi atau kedudukan, sebaliknya berlandaskan idealisme dan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Saya sanggup dipecat daripada UMNO kerana tidak mahu berkompromi dengan pendirian yang saya pegang sejak dahulu.

“UMNO perlu kembali kepada roh perjuangan asal, bukan tunduk kepada kehendak pihak lain,” jelasnya lagi.

Haslihelmy menambah, UMNO sebagai parti yang sudah lama menjadi tunjang kepada kestabilan politik negara perlu menunjukkan ketegasan dalam mempertahankan identiti serta prinsip perjuangan.

Menurutnya, kerjasama politik yang bersifat pragmatik tidak seharusnya mengorbankan nilai dan asas perjuangan yang sudah dibina sejak penubuhan parti tersebut.

“Jangan biarkan UMNO menjadi parti yang hilang arah. Parti ini perlu kembali kepada perjuangan membela Melayu, Islam dan kedaulatan negara.

“Itu yang menjadi nadi UMNO sejak dahulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa kepimpinan UMNO agar lebih terbuka mendengar suara akar umbi dan tidak terlalu bergantung kepada strategi politik yang bersifat sementara.

“UMNO tidak boleh hanyut dalam arus politik yang tidak menentu, sebaliknya tampil sebagai parti berprinsip, berani dan berwibawa,” tegasnya.

Terdahulu, Pemuda DAP Pulau Pinang menyeru kepimpinan parti itu memutuskan hubungan politik dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh susulan tindakannya yang didakwa bersifat provokatif.

Pemuda DAP Pulau Pinang berkata, tindakan sedemikian tidak boleh dimaafkan dan mendesak kepimpinan nasional DAP memutuskan segala bentuk kerjasama politik dengan Muhamad Akmal, terutamanya pada pilihan raya umum akan datang.