PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan pengampunan penuh yang diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-15 telah membatalkan sabitan serta hukuman.
Ia sekali gus menjadikan beliau sebagai individu yang dianggap tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.
AGC dalam kenyataan pada Khamis berkata, perintah pengampunan itu turut menafikan sebarang isu berkaitan kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Perdana Menteri.
"Tidak timbul sebarang isu kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri," kata jabatan itu.
Terdahulu, peguam P Waytha Moorthy memfailkan saman pemula bagi mendapat perisytiharan bahawa pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri pada 2022 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Beliau memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil pada Khamis melalui Tetuan Karthig Shan dan menamakan Anwar sebagai defendan tunggal.
Dakwanya, Anwar disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara melebihi setahun, yang menyebabkan beliau hilang kelayakan untuk dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu, AGC memaklumkan pihaknya menghormati hak mana-mana individu untuk memfailkan tindakan di mahkamah.
"Dalam hal ini, Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] 2 MLJ 545 telah memutuskan bahawa YDPA mempunyai kuasa untuk mengampunkan terhadap sabitan dan hukuman," katanya.
Sehubungan itu, ujar AGC, sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang ahli Parlimen seharusnya melalui petisyen pilihan raya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan hendaklah difailkan dalam tempoh sebagaimana yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.