SHAH ALAM - MCA mengecam sekeras-kerasnya serangan melibatkan anak kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan menyifatkannya sebagai insiden yang tidak boleh diterima sama sekali serta menggugat asas demokrasi negara.
Naib Presiden MCA merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, insiden sedemikian bukan sahaja jenayah tetapi juga satu bentuk serangan terhadap nilai-nilai yang dipegang oleh rakyat Malaysia.
Menurutnya, apabila keluarga tokoh politik menjadi sasaran, ia menunjukkan niat jahat yang membimbangkan dan berbahaya.
"Keganasan tidak mempunyai tempat di negara kita. Kita tidak boleh menerima atau berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan, apatah lagi terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa,” tegasnya dalam satu kenyataan.
"MCA mendesak pihak polis untuk menjalankan siasatan penuh dan telus, serta mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab, sama ada pelaku utama atau perancang di belakang tabir.
"Insiden ini tidak boleh dibiarkan lenyap begitu sahaja. Mereka yang terlibat mesti dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini dalam perkongsian di Facebook, Rafizi memaklumkan seorang lelaki mengheret anaknya yang berusia 12 tahun dan mencucuk dengan jarum suntikan secara tiba-tiba ketika mahu memasuki kereta untuk meninggalkan pusat beli-belah di Putrajaya pada 1.45 tengah hari, Rabu.
Dakwanya, semakan menunjukkan dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal mengekori kereta isterinya dan beliau berpandangan bahawa individu terbabit mungkin sudah merancang serangan berkenaan lebih awal.
Tambah Jeck Seng, keganasan politik mencerminkan kegagalan pihak yang tidak mampu berhujah secara rasional atau meraih sokongan secara sah.
Beliau menegaskan keperluan untuk kembali kepada budaya politik berteraskan perbincangan bernas dan wacana rasional, tanpa mengira latar belakang politik.
"Hari ini anak Rafizi menjadi mangsa. Esok, keluarga siapa pula? Ini bukan Malaysia yang kita impikan," ujarnya.
Beliau turut memberi amaran bahawa membiarkan keganasan politik berakar umbi akan menjejaskan imej negara, menghakis keyakinan pelabur serta mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat.
Beliau turut menyeru kepada semua pemimpin politik agar menunjukkan teladan baik, menolak retorik kebencian dan mengamalkan budaya politik yang membina, bukan merosakkan.
"Marilah kita bersatu mempertahankan persekitaran politik Malaysia dan melindungi demokrasi daripada diselewengkan oleh keganasan. Negara ini tidak boleh dan tidak akan kekal berdiam diri," katanya.