SHAH ALAM - Penasihat Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng menggesa tindakan dikenakan terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh atas dakwaan melanggar Rukun Negara serta menjadi ancaman nyata terhadap perpaduan, keharmonian, pentadbiran keadilan dan kedaulatan undang-undang.
Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Dr Akmal wajar dikecam kerana bukan sahaja cuba campur tangan dan memberi tekanan tidak wajar terhadap Jabatan Peguam Negara, malah turut membuli seorang warga emas yang telah pun memohon maaf dan ditahan polis atas kesilapan yang tidak disengajakan.
"Dr Akmal telah mengugut untuk mengadakan protes di hadapan kedai perkakasan tersebut di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Khamis sekiranya pemilik kedai tidak didakwa selewat-lewatnya esok.
"Mengapa perlu Dr Akmal melancarkan protes yang bersifat provokatif dan sensitif apabila pihak berkuasa sudah pun mengambil tindakan?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Sebelum ini DAP Pulau Pinang dilapor memberi amaran tidak akan berdiam diri sekiranya ada pihak cuba mengugut atau mengganggu penduduk negeri ini berhubung isu bendera terbalik di Kepala Batas.
Pengerusinya, Steven Sim Chee Keong berkata, parti itu teguh mempertahankan keamanan dan keharmonian negeri malah bersedia turun ke lapangan bersama rakyat untuk berdepan provokasi.
Dalam pada itu, Guan Eng mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu mengamalkan sikap dwi standard dan pendakwaan terpilih apabila tidak bertindak keras terhadap agensi kerajaan, parti politik Melayu seperti Pas dan Pemuda UMNO Terengganu yang pernah melakukan kesilapan serupa melibatkan bendera Malaysia.
"Mengapa perlu Dr Akmal melancarkan protes yang bersifat provokatif dan sensitif apabila pihak berkuasa sudah pun mengambil tindakan?
"Negara tidak boleh membiarkan seorang individu yang tidak bertanggungjawab memesongkan naratif yang palsu dan berbahaya dan sarat dengan kebencian, pembulian serta campur tangan dalam pentadbiran," ujarnya.