PUTRAJAYA - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menghasilkan poster Jalur Gemilang tidak lengkap, walaupun ia melibatkan anggota partinya sendiri.
Beliau berkata, poster yang dimuat naik Pemuda UMNO Terengganu itu didapati mempunyai dua jalur tidak mencukupi dan hasil semakan mendapati kesilapan berpunca daripada pihak yang menghasilkannya.
“Saya nak bagi tahu juga kepada (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke, baru lagi Malaysiakini keluarkan laporan Pemuda UMNO Terengganu buat poster tak cukup jalur, dua jalur tak cukup.
"Saya sudah mengesahkan perkara ini. Kita bertanggungjawab dan saya mendesak laporan polis dibuat serta hukuman keras dikenakan terhadap pihak terlibat.
"Saya tidak mahu hanya sekadar permohonan maaf walaupun ini Pemuda UMNO Terengganu, pemuda saya sendiri,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook pada Selasa.
Menurutnya, pendirian tegas itu konsisten dengan tindakan beliau sebelum ini yang mendesak siasatan terhadap insiden pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik di Pulau Pinang.
“Bagaimana kita mendesak satu siasatan dan hukuman yang berat kepada individu yang kibar bendera terbalik itu, begitu juga kita minta pada individu yang bertanggungjawab buat poster ini.
"Walaupun mereka daripada Pemuda UMNO, bangsa Melayu, agama Islam, salah tetap salah dan kita minta tindakan sama dilaksanakan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, isu tersebut tidak melibatkan politik atau bangsa, sebaliknya soal menjaga maruah negara dan menghormati lambang kebangsaan.
“Kami bukan hipokrit seperti geng mereka. Kepada DAP, kami bukan hipokrit seperti kamu,” bidas Dr Muhamad Akmal.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya menerima jemputan untuk bersemuka pada Khamis petang ini bagi membincangkan isu tersebut.
Terdahulu, Pemuda UMNO Terengganu memuat naik imej grafik Jalur Gemilang yang salah di laman Facebook.
Insiden itu berlaku di tengah-tengah desakan Dr Muhamad Akmal agar tindakan dikenakan terhadap pemilik sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang yang mengibarkan bendera Malaysia secara terbalik.