PRN Sabah: GRS setuju teruskan formula kerjasama dengan PH

RANAU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersetuju untuk mengekalkan formula kerjasama sedia ada dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) nanti.

Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, sejarah membuktikan bahawa sesebuah kerajaan negeri memerlukan hubungan kukuh dengan kerajaan Persekutuan.

“Kita mahu hubungan erat dengan kerajaan Persekutuan. Kita mahu kestabilan dan berharap rakyat memahami bahawa kita sedang melakukan yang terbaik untuk mereka serta membawa kemakmuran kepada mereka,” katanya pada majlis pecah tanah Projek Bandar Baharu Paginatan di dewan terbuka Memorial Nunuk Ragang di sini, Selasa.

Katanya lagi, rekod pencapaian kerajaan negeri GRS-PH dalam membawa kemajuan kepada Sabah telah terbukti.

“Kita mempunyai lebih 400 inisiatif di bawah agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan kira-kira 94 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan,” katanya.

Kerajaan GRS-PH, jelasnya, telah meluluskan pelbagai program bantuan untuk pembangunan pendidikan negeri dan kesejahteraan rakyat, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kerajaan negeri sebelum ini.

“Tahun ini sahaja, kita memberi bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada hampir 100,000 golongan miskin tegar, dan inisiatif ini akan diteruskan jika rakyat mengembalikan mandat kepada GRS-PH pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri GRS-PH telah berjaya mendapatkan penyertaan lebih besar dalam sektor minyak dan gas melalui pemeteraian bersejarah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan Petronas pada tahun 2021.

Sementara itu, bercakap mengenai program tersebut, Hajiji memaklumkan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB) komited meneruskan agenda menangani masalah kemiskinan bandar dan luar bandar melalui program pembangunan bandar baharu.

“Projek Bandar Baharu Paginatan yang telah lama dinantikan dijangka memacu ekonomi tempatan, selaras dengan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Bandar baharu seluas 80 hektar yang terletak kira-kira 43 kilometer dari sini akan dibangunkan dalam lima fasa, melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan penting termasuk pejabat kerajaan, kedai, perumahan kos rendah, dewan serba guna, perpustakaan, pusat kesihatan, pasar, balai polis dan balai bomba.

“Apabila siap kelak, penduduk Paginatan tidak lagi perlu ke Ranau atau Telupid untuk berurusan dengan jabatan kerajaan,” ujarnya.