GEORGE TOWN – Pemuda UMNO Pulau Pinang akan hadir ke Bertam, Kepala Batas pada Khamis ini sebagai maklum balas terhadap kesediaan DAP menyambut kehadiran mereka dengan pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.
Ketuanya, Mohd Hilmi Elias berkata, program yang dijadualkan pada jam 5.30 petang itu akan turut disertai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
Menurutnya, ia sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.
“Kehadiran kami bersama Jalur Gemilang adalah simbol kecintaan terhadap bendera dan tanah air.
“Kami mengajak orang ramai, khususnya warga Pulau Pinang untuk turut serta pada hari tersebut bagi menunjukkan semangat perpaduan dan cinta negara.
“Kehadiran anda akan memperkukuh mesej bahawa Jalur Gemilang adalah lambang maruah dan kedaulatan yang wajib dihormati,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau menegaskan, Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna, sebaliknya menjadi jiwa kepada seluruh rakyat Malaysia.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan DAP akan menyambut kedatangan pihak yang cuba mengganggu ketenteraman di kawasan kedai yang didakwa memasang bendera secara terbalik dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang percuma sebagai tanda semangat perpaduan sempena Hari Kemerdekaan.
Selain itu, kata Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook, DAP juga telah menaja Jalur Gemilang gergasi dan memasangnya di hadapan kedai perkakasan berkenaan untuk tontonan umum sebagai menunjukkan ia telah dipasang dengan betul.
Menurut Anthony, pihaknya mengecam keras tindakan golongan yang cuba memberikan tekanan secara terbuka kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendakwa pemilik kedai hanya kerana tersilap memasang Jalur Gemilang di hadapan premisnya.