PASIR GUDANG – Kerajaan disaran memberi keutamaan kepada pembaikan dan naik taraf kemudahan sekolah berbanding membelanjakan peruntukan besar untuk pembekalan lencana Jalur Gemilang kepada murid.
Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, hampir setiap minggu Pusat Khidmat Rakyat Parlimen menerima pelbagai permohonan bantuan daripada pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Menurutnya, permohonan tersebut merangkumi kerja naik taraf kemudahan asas, pembelian peralatan pembelajaran interaktif seperti Smart TV dan Smart Board, selain baik pulih tandas, bilik darjah, bumbung bocor dan peralatan asas lain.
“Saya faham lencana Jalur Gemilang melambangkan semangat patriotik tetapi realitinya ramai murid tidak memakainya secara konsisten.
"Apa maknanya kita membekalkan lencana berpuluh juta ringgit nilainya sedangkan murid bersekolah dalam keadaan tidak selesa, guru mengajar dengan kemudahan asas yang terhad dan suasana pembelajaran tidak menggalakkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Murad berkata, semangat patriotik akan lebih bermakna jika disemai dalam persekitaran sekolah yang selesa, lengkap dan mampu mendorong minat belajar.
Tambahnya, jika dana besar itu disalurkan terus kepada pembaikan kemudahan sekolah, guru dan murid akan lebih bersemangat sekali gus menyuburkan semangat cintakan negara secara semula jadi.
Sebelum itu, media melaporkan kerajaan memperuntukkan RM8.4 juta bagi pembekalan lencana Jalur Gemilang kepada 5.14 juta pelajar di sekolah, Kolej Matrikulasi, Kolej Tingkatan Enam dan Institut Pendidikan Guru (IPG).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, setiap pelajar menerima dua lencana secara percuma sebagai sebahagian inisiatif memupuk semangat patriotisme dan kecintaan kepada negara sejak di bangku sekolah.
"Peruntukan ini telah diagihkan kepada semua jabatan pendidikan negeri dan institusi berkaitan pada Februari 2025 dengan kuantiti disesuaikan mengikut bilangan pelajar berdaftar.
"Proses perolehan dilaksanakan oleh jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan institusi melalui sistem ePerolehan secara tender atau sebut harga.
"Bagi mempercepatkan bekalan dan menggalakkan lebih ramai pembekal yang layak, perolehan mengikut zon turut dibenarkan dengan sejumlah 91 pembekal di seluruh negara terbabit dalam penyediaan lencana tersebut," katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.
Bermula 21 April, semua pelajar sekolah kerajaan diwajibkan memakai lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah sebagai langkah memupuk patriotisme dan ketahanan nasional.