Isu Jalur Gemilang terbalik perlu ditangani dengan adab, bukan kebencian - Mujahid

SHAH ALAM - Salah faham berhubung pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik, sama ada sengaja atau tidak, perlu ditangani dengan semangat saling menasihati dan bukan melalui nuansa kebencian serta permusuhan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, berkata perkara itu jika tidak diuruskan dengan baik akan memburukkan keadaan kerana niat baik perlu diiringi dengan adab yang mulia.

“Perlu juga diingatkan kepada pihak-pihak tertentu supaya isu bendera dipasang terbalik ini tidak ditegur secara selektif. Semua pihak yang menyebabkan salah faham ini perlu ditegur secara adil.

“Kempen kesedaran awam perlu diperkukuh agar seluruh rakyat memahami cara pemasangan yang tepat dan betul, serta menghayati nilai di sebalik setiap warna dan jalur pada bendera negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, tular video berdurasi 21 saat memaparkan seorang lelaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik pada sebatang kayu atau besi panjang sebelum mengibarkannya, manakala seorang lagi merakam aksi tersebut.

Tambah Mujahid, pemasangan bendera secara terbalik, sama ada sengaja atau tidak, merupakan perbuatan yang boleh mencetuskan salah faham, menggugat semangat patriotisme, dan memberi kesan kepada keharmonian nasional.

Tegas beliau, Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain, tetapi simbol kedaulatan, maruah, dan perpaduan rakyat Malaysia yang wajib dihormati setiap warganegara.

“Kami memandang serius insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang berlaku baru-baru ini. Setelah berpuluh tahun kita merdeka, masih ada yang tidak sensitif dan mengambil ringan pemasangan Jalur Gemilang dengan cara yang betul.

“Pada masa yang sama, kami menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh punca insiden ini, mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang, dan memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang, sebagai pengajaran kepada seluruh rakyat Malaysia, termasuk sektor swasta dan awam yang mengibarkan Jalur Gemilang.

“Jalur Gemilang adalah simbol identiti dan maruah negara serta kebanggaan kita bersama. Maruah dan kehormatannya perlu dipertahankan tanpa kompromi,” katanya.