Kuota 40 peratus Bumiputera wajib kekal – Pemuda Pas Selangor

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor membantah pandangan kuota 40 peratus Bumiputera di Kuala Lumpur tidak lagi relevan dan menegaskan dasar itu perlu diperkasa, bukannya dihapuskan.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, kenyataan itu mengabaikan fakta sejarah dan realiti sosial negara selain berisiko menggugat prinsip asas pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan jelas menjamin hak dan kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak yang tidak terikat kepada tempoh masa.

"Ia bukan sasaran sementara, tetapi instrumen dasar untuk memastikan keseimbangan sosio ekonomi negara.

"Kuota perumahan atau populasi Bumiputera di kawasan strategik seperti Kuala Lumpur adalah sebahagian usaha memelihara keseimbangan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, angka populasi Bumiputera di Kuala Lumpur yang mencecah 47.4 peratus tidak mencerminkan pemilikan harta, penguasaan ekonomi atau akses peluang setara.

“Ramai Bumiputera masih tinggal di rumah sewa, menetap di kawasan berpendapatan rendah dan terpinggir dari pusat bandar akibat harga hartanah yang tinggi. Tanpa mekanisme kuota, jurang ini akan terus melebar,” katanya.

Mohamed Sukri menegaskan, Kuala Lumpur merupakan pusat kuasa ekonomi negara dan mengurangkan kehadiran Bumiputera di bandar raya itu akan melemahkan akses mereka terhadap peluang strategik serta jaringan perniagaan.

“Isu ini soal keadilan, bukannya diskriminasi. Kuota bukan untuk menafikan hak kaum lain tetapi memastikan tiada komuniti ketinggalan dalam arus pembangunan.

"Sejarah membuktikan tanpa dasar ini, Bumiputera akan terpinggir akibat pasaran bebas yang dikuasai pemodal besar,” tambah beliau.

Jelas beliau, jika sasaran 40 peratus telah dicapai, dasar itu sepatutnya diperhalusi untuk memberi tumpuan kepada pemilikan, kualiti hidup dan penyertaan ekonomi dan bukannya dihentikan sama sekali.

“Menamatkan dasar hanya kerana angka sudah dicapai adalah logik yang silap kerana cabaran sebenar adalah mengukuhkan kedudukan agar tidak merosot semula,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, cadangan dalam Rancangan Struktur Kuala Lumpur 2040 untuk memastikan peratusan penduduk Melayu atau Bumiputera di ibu negara kekal sekurang-kurangnya 40 peratus dianggap tidak lagi relevan kerana angka itu telah lama melepasi paras tersebut sejak lebih dua dekad lalu.

Ujar beliau, berdasarkan statistik pada 2023, peratusan Bumiputera di Kuala Lumpur telah mencecah 47.4 peratus, meningkat 1.5 peratus berbanding 45.9 peratus pada tahun 2010.