‘Mungkin Mohd Puad mahu lihat BN dikuburkan’ - Lian Ker

SHAH ALAM – Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Ti Lian Ker menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi batu api dan mempunyai muslihat tersendiri terhadap Barisan Nasional (BN).

Ia susulan tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyelar kenyataan Lian Ker dengan mendakwanya mempunyai hasrat mahu mendesak MCA keluar daripada BN.

Lian Ker berkata, kenyataannya sebelum ini merujuk kepada penentangan terhadap UMDAP dan bukan terhadap BN atau UMNO.

“Kalaulah UMDAP berjaya menjadi satu gabungan politik, ini adalah satu ‘signal’ atau pun dalam bahasa Melayu, tanda bahawasanya DAP akan menggantikan MCA dan MIC di mana BN cuma akan menjadi satu ‘empty shell’ atau cangkerang kosong.

“Ini juga akan bermakna berakhirlah BN apabila UMDAP menjadi pengganti BN. Mungkin Puad mahu lihat BN dikuburkan dan diganti dengan UMDAP?” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini Lian Ker dalam kenyataan menyatakan terdapat isyarat bahawa DAP akan menggantikan MCA dan MIC, sekali gus meningkatkan kemungkinan pembentukan UMDAP.

Mengulas lanjut, Lian Ker berkata , beliau lebih mengutamakan keadilan dan semangat undang-undang berbanding nafsu kerjaya politiknya.

“Mungkin Mohd Puad sengaja bermain politik tetapi saya jenis mengamalkan falsafah politik sains, menegakkan kebenaran dan berterus-terang dengan kesanggupan mengambil risiko politik walaupun terpaksa mengorbankan kerjaya politik peribadi saya.

“Itulah saya dapat bertahan dalam politik tanpa bertanding dalam mana-mana pilihan raya sejak tahun 2008 apabila saya dicantas dalam parti,” ujarnya.

Tambahnya, beliau turut menyarankan agar rakyat khususnya orang Melayu supaya jangan lupa adat mereka untuk sentiasa bermaaf-maafan.

“Dalam konteks bekas Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Razak yang hendak dilihat didera oleh ‘kawan-kawan baru’ Mohd Puad sekarang.

“Ada yang tak sudah-sudah mahu lihat Najib seksa dan sengsara walaupun setelah di penjarakan,” ujarnya.

“Akhirnya, saya pohon Mohd Puad untuk memberi perhatian mendaulatkan institusi raja dan memastikan titah Addendum dipatuhi,” menurutnya.