DAP Batu Kawan kesal isu Jalur Gemilang terbalik dipolitikkan

BUTTERWORTH - DAP Batu Kawan memandang serius kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang betul sebagai manifestasi jati diri rakyat Malaysia yang merdeka dan mempunyai semangat patriotisme.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen DAP Batu Kawan, Chow Kon Yeow melahirkan rasa kesal apabila insiden mengibarkan Jalur Gemilang dengan cara yang tidak berpandukan garis panduan tepat telah dipermainkan untuk tujuan politik yang membawa kesan negatif kepada masyarakat umum.

Menurutnya, DAP Batu Kawan berpandangan bahawa kita sebenarnya boleh memilih pendekatan untuk mengatasi isu sedemikian dengan cara yang lebih humanistik dan berperikemanusiaan.

"Misalnya, sesiapa atau mana-mana pihak yang melihat kejadian sedemikian berlaku boleh memilih untuk memberi nasihat dan peringatan kepada pihak berkaitan supaya tindakan segera bagi membetulkannya dapat diambil.

"Sebaliknya, apa yang kita saksikan kini adalah pihak tertentu akan menangkap gambar dan menularkannya di platform media sosial," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Ahad.

Kon Yeow berkata, tindakan sedemikian telah menimbulkan pelbagai reaksi sehingga ahli-ahli politik dan orang awam membuat laporan polis supaya pendakwaan dilakukan ke atas pihak yang salah.

"Umumnya, tindakan sedemikian sebenarnya tidak menguntungkan mana-mana pihak terutamanya dalam memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.

"DAP Batu Kawan berpandangan bahawa pendekatan memberi nasihat dan peringatan bersesuaian bakal menyelesaikan masalah yang timbul dengan cara yang lebih harmoni serta selari dengan semangat Malaysia Madani yang ingin memupuk semangat insaniah dalam masyarakat Malaysia kita," katanya.