SHAH ALAM – Ahli Parlimen sama ada di blok kerajaan atau pembangkang digesa supaya segera mengemukakan usul di Parlimen untuk menggubal undang-undang atau akta bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang memasang serta mengibarkan bendera negara secara terbalik.
Gesaan itu dibuat Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bagi mengelak insiden Jalur Gemilang dipasang atau dikibar secara terbalik terus berulang pada masa akan datang.
Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mendakwa, hukuman di bawah undang-undang sedia ada bagi kesalahan tersebut ketika ini dilihat tidak memadai dan terlalu ringan.
“Saya minta kepada ahli Parlimen kita yang duduk di Parlimen, tidak kira daripada parti mana, pembangkang atau kerajaan, tolonglah gubal undang-undang yang ada ini (bagi kesalahan pasang bendera terbalik) untuk kenakan hukuman yang jauh lebih berat.
“Kalau kena denda RM1,000 atau RM100, ini mereka pandang sebelah mata sahaja dan kalau boleh hendak kenakan hukuman lebih berat, mungkin sebatan atau hukuman penjara yang lebih lama. Tidak perlu setahun, lebih lima atau 10 tahun pun tidak mengapa,” katanya menerusi hantaran video di laman Facebook pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang pemilik kedai perkakasan berusia 59 tahun di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Sabtu kerana mengibar Jalur Gemilang secara terbalik.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Muhamad Akmal menerusi hantaran sama turut memaklumkan perancangan untuk membuat kunjungan ke premis perniagaan milik lelaki berkenaan bagi mengajar cara atau kaedah betul memasang bendera ditangguhkan.
“Disebabkan lelaki itu telah ditahan dan akan didakwa, kita tangguhkan dulu, bukan batal. Jika selepas ini ada pihak yang berani hendak pasang bendera terbalik, jangan risau, kita akan datang dan ajar cara betul pasang bendera,” katanya.
Beliau pada masa sama turut mendesak supaya individu yang ditahan itu dikenakan hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada pihak lain.
“Kita desak supaya kerajaan jangan hanya siasat, tangkap dan dakwa dengan kesalahan serta hukuman yang ringan. Orang ini mesti didakwa dan dikenakan hukuman seberat-beratnya,” katanya.